Tuesday, May 19, 2009

Umno terus kekal sebagai teras kestabilan


KINI Umno sudah melepasi usia 63 tahun. Satu usia yang dilihat begitu matang dan melepasi 'jubli intan' kepelbagaian ranjau pengalaman yang pastinya memberikan parti tertua umat Melayu di tanah air ini pengajaran berguna dalam meneruskan perjuangan yang masih relevan ke arah membina dan menyumbang jasa demi pembangunan dan kestabilan negara. Ingatan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kepada ahli parti itu bahawa Umno tidak harus hanya bernostalgia dengan jasa dan bakti jelas memaparkan kekecewaan Perdana Menteri yang generasi kini sudah tidak pandai 'berterima kasih.' Hakikat bahawa perlunya warga negara ini, terutama umat Melayu yang berjumlah 13 juta itu diajar mensyukuri dan berterima kasih akan perjuangan Umno adalah penting dijanakan. Adakah kini rakyat sudah tidak pandai 'berterima kasih'? dan diajarkan pula untuk tidak berterima kasih?

Untuk itu, Umno dan Barisan Nasional (BN) sangat perlu 'mega hiper aktif' untuk mendekati rakyat dan menerangkan kepada mereka situasi sebenar kerajaan dan parti. Pasca pilihan raya umum Mac tahun lalu, bukan saja Umno, malah komponen BN dilihat berdepan dengan satu senario baru yang pasti memberi petunjuk jelas wujud satu 'rasa tidak senang' rakyat terhadap kepemimpinan Umno dan juga komponen parti dalam BN itu sendiri. Kemerosotan prestasi ini bukan semata-mata kegagalan Umno. Yang jelas, dalam situasi politik semasa, Umno berjaya mengekalkan kerusi yang signifikan di badan legislatif, sama ada di peringkat negeri mahupun di Dewan Rakyat.

Sebagai contoh, di Perak, daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN, 27 adalah disumbangkan Umno. Di Pulau Pinang pula, BN berjaya mengekalkan 11 kerusi DUN – semuanya menerusi Umno, dan ini bermakna Umno adalah suara dominan yang mewakili BN di negeri terbabit. Situasi di Kedah juga menunjukkan daripada 14 kerusi DUN dimenangi BN, 12 disumbangkan Umno. Malah, baki dua lagi kerusi wakil komponen BN lainnya juga berjaya dimenangi di Derga dan Gurun, dikatakan kerana pengundi Melayu menerusi Umno yang tetap memberikan sokongan mereka kepada BN. Selangor juga berlaku hal sama, iaitu 20 kerusi DUN yang dimenangi BN, 18 daripadanya adalah kerana sokongan rakyat terhadap Umno, sementara MCA hanya berjaya kekal di dua kawasan DUN, dan empat dari lima kawasan Parlimen yang dimenangi BN Selangor juga adalah disumbangkan Umno. Ini menunjukkan dalam usia 63 tahun ini, Umno masih relevan, cuma satu keperluan baru menuntut Umno untuk menjadi lebih 'rakyat' dan bukannya elitis. Transformasi konsep dan perjuangan Umno dan juga BN perlu diselaraskan semula dengan situasi semasa.

Kemerosotan prestasi secara mendadak komponen BN lainnya menyebabkan Umno turut sama mengalami gugatan hinggakan berlaku banyak tuntutan tidak berasas oleh pelbagai pihak sama ada dari dalam parti mahupun luar untuk melihat bukan saja Umno itu di 'awetmudakan', bahkan BN itu sendiri perlu ditransformasikan bagi membina 'neo-BN.' Sikap menuduh Umno dengan pelbagai tuduhan sehingga melupakan 'kesalahan' dan pengabaian komponen lainnya di dalam gabungan kerajaan masa kini perlu diubah. Kemerosotan prestasi BN pada pilihan raya umum lalu bukan hanya perlu dipersalahkan kepada Umno, tetapi jauh daripada itu, parti komponen BN lainnya, terutama MCA, Gerakan, MIC serta PPP perlu sama bermuhasabah dan memperkukuhkan parti mereka di kalangan masyarakat bukan Melayu untuk menarik semula minat pengundi kepada BN. Membentuk pasukan yang 'membina' adalah lebih penting daripada membina pasukan 'menghina'. Pemimpin dan juga ahli serta pejuang Umno perlu berbangga dan sedar bahawa dengan pengaruh Umno yang berjaya dikekalkan, maka perjuangan Umno di hati masyarakat Melayu Islam di negara ini masih relevan dan mendapat tempat. Jika tidak kerana undi kaum bukan Melayu yang memihak kepada pembangkang, termasuk Pas tidak mungkin begitu banyak negeri dan kawasan Parlimen berjaya dikuasai pembangkang. Hujah ini membuktikan bahawa Umno masih lagi dianggap penting untuk perjuangan Melayu dan Islam di negara ini. Lihat saja peningkatan sokongan pengundi Melayu pada dua pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang nyata masih memilih BN kerana sokongan terhadap Umno.
Tidak dinafikan di sebalik sambutan usia Umno ke-63 kali ini, wujud dengan jelas kesedihan di kalangan pelbagai pihak, terutama pejuang Umno dan juga rakyat yang masih menjiwai pentingnya Umno demi kestabilan negara. Untuk itu, Umno perlu di 'neo-Umno'kan, di 'awetmudakan' serta dimantapkan tema serta hala tuju perjuangan Umno pada zaman baru. Janganlah pula pemimpin Umno dan BN masih berlagak sebagai 'kerajaan' sedangkan negeri pimpinan mereka sudah jatuh ke tangan yang dulunya pembangkang. Saidina Ali pernah menyebutkan bahawa 'kebatilan yang terancang mampu memusnahkan kebenaran yang tidak terancang.' Untuk itu, Umno yang sudah berjasa besar dalam membawa umat Melayu daripada sebuah bangsa yang dulunya menjadi hamba kepada penjajahan dan kini bebas serta merdeka dan kaum lain turut sama merasai nikmat, di sebalik perjuangan Umno perlu segera dibangkitkan semula. Perjuangan Umno perlu direvolusikan. Saranan Datuk Mukhriz Mahathir yang berpandangan bahawa pembaharuan strategi dalam menghadapi pilihan raya penting diamati. Revolusi secara mental, perancangan serta strategi baru harus mula disuntik kepada perjuangan Umno. Jika tidak, segala modus operandi gaya gerak Umno yang diciplak mentah-mentah oleh bekas pemimpinnya yang kini berada pada pihak pembangkang akan terus menyebabkan Umno tidak bebas daripada peniruan dan kebocoran segala 'rahsia' dan strateginya.
Umno perlu berubah wajah membina landasan berteraskan zaman serta bersifat futuristik dan tidak menjadi jumud serta feudalistik. Pendeta tersohor Melayu, Zainal Abidin Ahmad atau Za'aba pada 1923 dalam penulisannya di Malay Mail dan juga disiarkan al-Ikhwan menyatakan kemiskinan Melayu adalah kemiskinan kebendaan dan kerohanian, maka Umno perlu menggerakkan usaha bagi mendepani permasalahan 'kemiskinan' ini dengan segera. Bukan saja Umno menjadi penyalur kepada material semata-mata, tetapi Umno juga perlu menyemarakkan keunggulan perjuangan Melayu ini dengan menyuntik aspek kerohanian di kalangan pemimpin dan ahlinya. Imej Umno yang kini diperlihatkan sama ada benar atau tidak, namun, persepsi rakyat melihat bahawa Umno ini sebagai sebuah institusi politik kapitalis dan material perlu segera diperbetulkan. Jika imej 'Umno kapitalis' tidak segera diperbetulkan, maka ia akan merebakkan masalah dalaman yang semakin parah sehingga tidak mustahil negara akan mengalami ketidakstabilan serius sehingga bukan saja BN, malah pembangkang juga akan turut tergugat apabila negara menjadi anarki akibat tiada lagi kestabilan di dalam persekitaran geopolitik negara ini. Umno adalah teras kestabilan politik di negara ini perlu dijagai dan ditatang bagai minyak yang penuh. Jika tidak pastinya bangsa Melayu dan Islam akan berdepan dengan krisis identiti politik yang sukar dan parah. Penulis ialah pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Belia berwawasan bantu jayakan konsep 1Malaysia

BELIA adalah aset terpenting dalam sesebuah negara. Jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan, bergantung kepada peranan dimainkan golongan ini. Tentunya kita sudah biasa mendengar ungkapan itu. Justeru, sebagai menghargai sokongan serta sumbangan penting golongan ini kepada negara sejak lebih 51 tahun lalu, maka setiap tahun kerajaan meraikan mereka menerusi sambutan Hari dan Minggu Belia Negara yang tetapkan pada setiap 15 Mei, seperti pada hari ini. Tahun ini, sambutan perhimpunan berpusat di Melaka, negeri yang kaya dengan sejarah dan paling aktif dengan aktiviti belia. Sambutan awal program ini sebenarnya sudah dilancarkan di Stadium Utama Kangar pada 3 Mei lalu. Bagaimanapun sempena perhimpunan hari ini, acara di Melaka bermula sejak 13 Mei lalu dan berakhir Ahad ini.

Sambutan yang dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka itu, menyaksikan penganjuran pelbagai acara menarik. Antaranya Karnival Remaja, Festival Rekreasi dan Sukan Belia Kebangsaan serta Konvensyen Belia Kebangsaan. Kemuncak sambutan tentunya, perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh. Perhimpunan kali ini bertemakan `Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan'. Dianggarkan kira-kira 20,000 pemimpin dan wakil pelbagai pertubuhan belia dari seluruh negara hadir pada majlis ini. Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Perhimpunan Belia Sedunia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dijangka hadir.

Pada awalnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan dan sekali gus menyampaikan amanat penting pada majlis ini. Namun beliau terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) di Menado, Sulawesi Utara, Indonesia. Tahun lalu, perhimpunan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil yang dihadiri kira-kira 15,000 pemimpin dan wakil belia, mewakili pelbagai pertubuhan atau persatuan dari seluruh negara. Perasmian program bertemakan `Belia Cemerlang, Negara Terbilang' itu disempurnakan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sebagai imbasan, antara lain, dalam amanahnya yang terakhir sebagai Perdana Menteri, Abdullah mahu golongan belia di negara ini menanam sikap untuk sentiasa maju, hebat dan bersemangat tinggi agar dapat mencapai kejayaan dalam setiap bidang diceburi. “Dengan sikap untuk sentiasa maju dan disertakan dengan ilmu atau kemahiran, belia akan mampu menghadapi saingan yang semakin mencabar. Kita tidak mahu belia tidak bekerja atau terbabit dalam kerja tidak berfaedah... kita mahu tenaga muda ini diperkasakan dan sama-sama membangunkan negara,” katanya.

Perhimpunan secara besar-besaran di Ballroom MITC, Melaka pada petang ini sememangnya sangat dinantikan pelbagai pihak, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli belia sama ada di peringkat pusat, negeri atau daerah yang berkumpul di negeri kelahiran Hang Tuah itu sejak beberapa hari lalu. Sejak mengambil alih kepemimpinan negara pada awal April lalu, tidak banyak diketahui mengenai hala tuju belia negara berlandaskan konsep ‘1Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri. Malah pada peringkat kementerian sendiri, dikatakan belum ada pendekatan paling tepat mengenainya. Apa lagi dengan pelbagai kes membabitkan golongan belia hari ini yang agak membimbangkan. Misalnya, terbaru, seramai 500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan di Dataran Merdeka dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas. Itu tidak termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah, ragut, pecah rumah, curi kenderaan, gangsterisme, seks rambang atau sumbang mahram termasuk membabitkan remaja di peringkat sekolah yang kebelakangan ini banyak disiarkan media. Kes sebegini tentunya amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia. Ahmad Shabery sebelum ini ada menyentuh konsep 1Malaysia ketika mewakili Timbalan Perdana Menteri melancarkan sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2009 di Kangar. Selepas majlis itu, beliau mengumumkan mengenai konsep ‘Satu Belia’.
Antara lain, beliau berkata, kejayaan konsep 1Malaysia sukar untuk dijayakan jika belia yang kini berjumlah kira-kira 12 juta, tidak bersatu. Bagi menjayakan konsep 1Malaysia, katanya, cara berfikir golongan muda juga perlu ditukar dan ia sepatutnya dimulakan pada peringkat sekolah rendah lagi. “Belia seharusnya bersatu dan berfikir sebagai satu. Mereka mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pelapis kepemimpinan negara pada masa depan. Kita patut mengajar mereka supaya menjadi warganegara yang mencintai dan mengasihi negara sebab mereka adalah mewakili masa depan. “Sebab itu, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan akan menjadi realiti, malah mampu dicapai dengan cepat jika belia bersatu,” katanya. Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui pada satu majlis di Melaka baru-baru ini berkata, amanat yang bakal disampaikan Muhyiddin pada petang ini sangat penting terutama kepada belia, bagi memahami apa yang ingin dibawakan pucuk pimpinan menerusi konsep 1Malaysia. Katanya, ini adalah amanat sulung pucuk pimpinan negara kepada belia dalam satu acara yang menghimpunkan semua pemimpin belia, sejak kepemimpinan baru mengambil alih. “Sebab itu, saya berharap, perhimpunan ini bakal menjadi titik pertemuan kepada seluruh kepemimpinan belia seluruh negara untuk memahami konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.
Amanat ini penting untuk mengajak belia bergerak atas satu nada dan lebih penting, atas satu pemahaman. “Selepas daripada itu, apabila mereka kembali ke tempat atau kawasan masing-masing, pemimpin atau wakil belia yang hadir ini akan membawa satu suara yang sama dan bukan lagi atas andaian serta pemahaman berbeza-beza. Belia perlu sepakat mencari jalan untuk sama-sama menjayakan konsep 1Malaysia ini,” katanya. Setiausaha Agung Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Nizam Omar berkata, pertubuhan itu sememangnya menantikan amanat yang bakal disampaikan Timbalan Perdana Menteri terutama berkaitan konsep 1Malaysia. “Kita berharap akan ada satu perkhabaran gembira disampaikan dalam amanat Timbalan Perdana Menteri nanti, sama ada untuk belia di kampung atau di bandar,” katanya.

Generasi muda beriman perkukuh perjuangan Islam


umbangan belia bertakwa penting bantu kejayaan, pencapaian ummah sepanjang zamanGENERASI muda, remaja atau belia ialah kelompok yang aktif dalam semua perkara. Mereka suka bertanya, mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, sukakan cabaran, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta. Inilah perkembangan naluri dan fitrah generasi muda dalam proses membentuk diri menuju kematangan dan masuk ke alam dewasa. Sebagai pemuda Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan.

Potensi yang dimiliki boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara, tetapi ia juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan negara. Isu utama ialah bagaimana potensi itu digilap dan disuburkan secara fitrah serta bakat diguna secara bermanfaat. Islam meletakkan generasi muda pada kedudukan mulia dan hal ini berbeza berbanding pada zaman sebelum kedatangan Islam. Jika dalam masyarakat Arab jahiliah, bangsawan Quraisy membentuk belia mereka dengan latar belakang kemewahan dan hidup berfoya-foya, tetapi sejurus selepas terpancar nur Ilahi ke dalam masyarakat Arab, acuan itu mula dicorakkan kepada konteks lebih luas, global, punya nilai dan beradab. Corak remaja atau belia pada zaman itu terbentuk melalui kesan tarbiah rohaniah dan jasmaniah yang dipimpin melalui pendekatan wahyu iaitu melalui cara hidup Islam. Budaya atau cara hidup bersandarkan reda Allah wujud pada diri pemuda ketika itu.

Ini menyebabkan mereka tidak saja memiliki pedoman dan dorongan terbaik untuk memandu jalan hidup, tetapi budaya reda Allah itu membentuk kedewasaan remaja yang akhirnya menjadikan mereka taat serta patuh terhadap perintah Allah dan sentiasa mengelak melakukan apa dilarang. Al-Quran dan al-sunnah sarat dengan contoh generasi pemuda yang diiktiraf berjaya di sisi Allah. Kisah anak muda dalam surah al-Kahfi ialah pengiktirafan yang dinyatakan secara jelas oleh Allah kerana mereka beriman dan mempertahankan sifat takwa walaupun berdepan pemerintah zalim. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah kepada mereka petunjuk." (Surah al-Kahfi: 13) Allah juga memasukkan belia dan remaja yang menghabiskan masa mengabdikan diri kepada Allah dalam kegiatan hidupnya sebagai manusia yang dimasukkan ke dalam golongan mendapat perlindungan lembayung payung Allah di Padang Mahsyar kelak. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tujuh golongan manusia yang akan dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya, pemuda yang hidup dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pemuda memiliki beberapa kelebihan berbanding orang tua untuk menunaikan tanggungjawab agama sama ada melaksanakan perintah atau menjauhkan larangan antaranya mempunyai banyak masa lapang, belum sibuk dengan kerja lain, mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal, mempunyai kecerdasan akal fikiran, mempunyai daya ingatan yang kuat, jarang ditimpa penyakit dan mudah mendapat pertolongan serta memberi bantuan kepada orang lain. Pada ketika mempunyai kelebihan dan keistimewaan inilah pemuda perlu merebut peluang menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati." Pemuda pada awal Islam menjadi tonggak dakwah dan ejen pembangunan dalam membina kekuatan. Nama seperti Mus'ab Umair, Usamah Zaid, Ali Abi Talib, dan Bilal Rabah, membuktikan kepada generasi berikutnya bahawa remaja tonggak kekuatan ummah pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Rasulullah SAW berpesan supaya ummah memberikan perhatian kepada mendidik dan menjaga belia dalam sabda Baginda bermaksud: "Aku berpesan kepada kamu supaya memberi perhatian kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka lembut. Allah mengutuskan aku membawa agama hanif lalu pemuda menyokong aku sedangkan orang tua menentang aku." Justeru, dalam beramal, pemuda dianjurkan sentiasa mengambil peluang melaksanakan ibadat tanpa perlu bertangguh kerana usaha meningkatkan takwa dalam hidup bukan bermusim. Firman Allah bermaksud: "Dan dirikan oleh kamu sembahyang dan tunaikan zakat, dan apa juga yang kamu dulukan daripada kebajikan untuk diri kamu, tentu kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah." (Surah al-Baqarah: 110) Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya daripada diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya." (Hadis riwayat at-Tirmizi) Rasulullah SAW juga pernah melahirkan perasaan takjubnya kepada pemuda yang sentiasa bersungguh-sungguh menjunjung nilai takwa dalam kehidupannya dan bukan bersikap seperti kebudak-budakan. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak memiliki sifat kebudak-budakan." Ketika hayatnya, Baginda SAW selalu berpesan kepada belia dan remaja supaya memperlihatkan sifat matang, sesuai dengan kekuatan fizikal sehingga dapat dibezakan dengan golongan tua. Lantaran itu, ketika usia Baginda menginjak ke angka 40, terjadi peristiwa kenabian pada waktu yang dianggap sempurnanya kematangan umur dewasa. Ketika itu, kebanyakan pendukung kuatnya ialah pemuda. Saidina Abu Bakar, tua tiga tahun daripada umur Baginda, Saidina Umar pula berusia 27 tahun ketika memeluk Islam, Saidina Othman lebih muda daripada Baginda dan Saidina Ali jauh lebih muda daripada sahabat lain. Begitu juga sahabat yang terkenal sebagai pendamping dakwah yang dibawa Baginda SAW seperti Abdullah Mas'ud, Said Zaid, Abdul Rahman Auf, Bilal dan Musab Umair yang berusia muda. Nama seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian, malah Abu Talib yang tidak menerima dakwah Baginda SAW ialah kalangan generasi tua. Harapan Islam kepada generasi muda, remaja atau belia amat tinggi, justeru pengiktirafan ini mesti dibuktikan melalui tindakan dan realiti, bukan sekadar retorik atau omong kosong. Benar dan tepat kecintaan Allah kepada mereka yang suka bersedekah, tetapi Allah lebih cinta generasi muda yang bersedekah, Allah juga mencintai mereka yang beramal, tetapi Allah lebih mencintai generasi muda beramal. Allah mengasihi orang beribadat, tetapi Allah lebih mengasihi pemuda yang beribadah. Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Jelebu, Negeri Sembilan

Modal insan pelengkap ekonomi baru berteras inovatif, kreativiti

PENSYARAH, penulis dan pakar perunding terkemuka dunia, Peter F Drucker pernah berkata: ‘Inovasi adalah elemen utama kepada usahawan. Dengan mengeksploitasi sesuatu yang berlainan dalam dunia perniagaan dan perkhidmatan mampu mengubah elemen itu. “Usahawan juga perlu melakukan kajian untuk mendapatkan sumber yang lebih inovasi dan mengaplikasikan ke arah mencipta serta meneroka kejayaan lebih cemerlang.” Ternyata berfikiran kreatif dan inovasi adalah ramuan terbaik untuk melakukan sebarang penciptaan dalam apa juga sistem kehidupan. Minda kreatif dan inovasi mampu memacu kedudukan tertinggi sosioekonomi sesuatu bangsa. Dalam misi Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020, semua sektor perlu menggarapkan nilai kreatif dan inovasi dalam budaya kehidupan mereka.

Dengan itu, langkah kerajaan memperkenalkan model baru berteraskan peningkatan inovasi dan produktiviti pekerja yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini, tepat pada masanya ke arah meletakkan kedudukan ekonomi daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada pendapatan tinggi. Model ekonomi baru yang memberi penekanan terhadap aspek inovasi dan produktiviti wajar dilaksanakan segera. Presiden Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (Macri), Datuk Ghazi Sheikh Ramli menganggap langkah kerajaan itu adalah sejajar dengan misi Macri sendiri yang kini begitu agresif mempromosi kreativiti dan inovasi sebagai jentera bagi menentukan kejayaan negara pada masa depan kepada semua lapisan masyarakat sejak penubuhannya pada April 2007 lalu.

Oleh itu, misi Najib untuk membentuk model baru ekonomi memberi ruang kepada transformasi berkesan dengan menambah nilai yang lebih tinggi menerusi kreativiti dan inovasi. Ekonomi baru ini mampu direalisasikan dengan menyatukan pengetahuan dengan modal insan. Apa yang perlu dilakukan, Ghazi berkata, keseluruhan sektor ekonomi termasuk di kalangan kerajaan, swasta, akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan bertindak untuk mewujudkan transformasi dengan meningkatkan nilai dalam sistem kehidupan mereka. “Sebagai contoh, syarikat multinasional yang besar dan berjaya, sebenarnya mempunyai budaya inovasi secara menyeluruh di dalam syarikatnya seperti dilakukan IBM, Google, Digi dan Philips. “Apa yang diperlukan dalam pasaran di Malaysia, syarikat tempatan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memberi penekanan terhadap inovasi dalam ekonomi baru dengan menjadikannya budaya dalam syarikat masing-masing. Apabila ini dapat diterapkan segala pelaksanaan program akan mencatat kecemerlangan,” katanya.

Kajian terhadap 25 syarikat inovatif dunia, mendapati Google sentiasa berada paling atas kerana menggarapkan kreativiti dan inovasi dalam setiap amalan syarikatnya. Syarikat Tata, dari India, umpamanya, sebelum ini tidak pernah termasuk dalam senarai 25 syarikat inovatif terkemuka dunia, tetapi tahun lalu nama negara itu melonjakkan ke tangga ke-6 selepas melakukan inovasi dalam penciptaan kereta cip terkecil di dunia, iaitu Nano yang hanya bernilai AS$2,500. “Sekiranya kita meluaskan minda dan berfikiran kreatif serta inovatif, apa juga yang dilakukan boleh ditambah nilai dan dikomersialkan. “Saya fikir strategi terbaik yang perlu dilakukan kerajaan untuk membangunkan ekonomi baru yang berasaskan kepada kreativiti dan inovasi bagi menambah nilai ialah dengan menekankan kepada modal insan,” katanya. Apa yang penting ialah memastikan seramai mungkin rakyat di negara ini memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan dengan kreativiti dan inovasi. Penubuhan Macri, katanya, sejajar dengan matlamat negara dan dengan keahlian 1,800 dari pelbagai kaum, iaitu 55 peratus kalangan dewasa dan 45 peratus di bawah usia 21 tahun serta penekanan kepada ‘memperkasakan idea yang mudah’ sebagai pemangkin generasi yang hebat pada masa depan. Rakyat, kata beliau, tidak seharusnya dangkal fikiran dengan hanya menganggap inovasi berasaskan kepada produk, sebaliknya perlu memperluaskan minda kepada aspek lain.
“Apabila bercakap mengenai kreatif dan inovasi, masih ramai yang salah anggap dan itu perlu dibetulkan. Ada yang menganggap kreativiti hanya dalam bidang muzik, teater, drama, filem dan penulisan, manakala inovasi hanya untuk pakar penyelidik serta saintis. Ini seolah-olah mereka saja yang kreatif. “Ada juga yang menyatakan inovasi hanya kepada produk. Semua tanggapan itu salah. Oleh itu, kita perlu nyatakan bahawa kreativiti dan inovasi boleh dilakukan oleh semua golongan dalam apa juga bidang. “Jika tidak didedahkan dengan perkara baru, selagi itu, kita tidak boleh menjadi seorang yang kreatif dan berinovasi. Kita mahu kedua-dua aspek ini tidak hanya sebagai retorik sebaliknya dilaksanakan kerana setiap manusia dilahirkan dengan akal fikiran dan ia perlu dipergunakan sebaik-baiknya,” katanya. Dalam keadaan ekonomi merudum juga dianggap masa yang sesuai negara bergerak pantas ke arah pembinaan kreatif dan inovasi dalam budaya kehidupan. Malaysia sudah bersedia ke arah itu kerana sudah didedahkan dengan aspek kreativiti dan inovasi jika dibandingkan dengan negara lain. Apa yang paling utama ialah bagaimana kita perlu melonjak lebih jauh ke arah itu dengan menggunakan model kreatif dan inovasi. Sudah pasti Wawasan 2020 bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan moto Cemerlang, Gemilang dan Terbilang oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini 1Malaysia oleh Najib adalah cantuman kesinambungan yang amat relevan pada masa ini dalam usaha mencapai sebuah negara maju.

Umno Sabah giat perjelas gagasan PM

KOTA KINABALU: Jentera Penerangan Umno Sabah akan mempergiat usaha memberi penjelasan kepada ahli parti dan anggota masyarakat mengenai konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan mereka tidak dieksploitasi pembangkang.
Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Musa Aman, berkata penjelasan itu akan dilaksanakan melalui pelbagai kaedah dalam program rasmi atau sebaliknya kerana ia bakal menentukan kelangsungan perjuangan Umno pada masa depan.
Katanya, jentera berkenaan yang dipimpin Datuk Sapawi Ahmad akan turut memberi penjelasan mengenai pelbagai isu politik dan ekonomi semasa, sekali gus mengelak ahli Umno dan anggota masyarakat terpedaya dengan dakyah pembangkang.

"Jentera penerangan Umno di negeri ini sering diberi panduan bagi memastikan mereka menjalankan tugas dengan baik. Sapawi sudah merangka pelbagai program, khususnya pada peringkat akar umbi bagi memantapkan parti demi kebaikan rakyat.
"Beliau kerap mengadakan perjumpaan dengan Ketua Penerangan Umno bahagian. Umno Sabah akan menjemput Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan berjumpa dengan semua Ketua Penerangan Umno bahagian bagi meningkatkan fungsi mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perhubungan Umno negeri di Bangunan Umno, di sini malam kelmarin.

Kelmarin, Ahmad dilaporkan berkata, lebih 60,000 jentera penerangan Umno pada peringkat cawangan gagal berfungsi kerana tidak memahami tugas masing-masing.
Kegagalan memahami tugas menyebabkan mereka tidak aktif dalam memberi penjelasan mengenai isu semasa kepada rakyat.
Musa juga berkata, 425,094 ahli Umno dalam 5,240 Umno cawangan di negeri ini dibenarkan menghadiri mesyuarat cawangan mulai hari ini hingga 30 Jun ini.
Sehubungan itu, Perhubungan Umno negeri akan mempergiat usaha meningkatkan ahli parti bagi memperkukuh perjuangan parti dan Barisan Nasional, katanya.

Kebaya kekal identiti bangsa

Sentuhan moden yang dihasilkan masih mengekalkan ciri klasikMANISNYA berkebaya menyerlah santun dan gemalai pemakai. Menyelusur sejarah kebaya, sebenarnya berasal dari tanah Arab. Malah perkataan kebaya berasal daripada perkataan Arab, 'kaba' yang bermaksud pakaian. Sehinggalah kedatangan orang Portugis ke Tenggara Asia pada abad ke-15, olahan gaya dibuat bersama sejenis pakaian wanita Indonesia sehingga akhirnya menghasilkan kebaya.

Halusnya seni buatan kebaya Indonesia tidak kurang hebatnya dengan pelbagai jenis kebaya lain yang tersebar meluas hingga ke Melaka dan digelar kebaya nyonya. Di tanah Jawa sendiri, kebaya dianggap pakaian suci yang hanya boleh dikenakan oleh kerabat monarki Jawa ketika itu. Zaman British memerintah di Tanah Jawa, wanita Eropah turut menyarung kebaya yang diperbuat daripada fabrik mori disulam dengan sulaman sutera pelbagai warna sebagai pakaian rasmi. Kini, evolusi kebaya melalui pelbagai peralihan. Pemilik Prestige by Inar, Inar Suminarsih ditemui ketika Pameran Pengantin Malaysia 2008 di Mid Valley baru-baru ini berkata, peluang mengkomersialkan kebaya klasik Indonesia menjadi cabaran untuknya kerana lumrah dunia fesyen, setiap rekaan pasti melalui perubahan.

"Kebaya lambang identiti sesuatu bangsa. Saya akui, walaupun ada perubahan yang dibuat namun rekaan yang dihasilkan masih kekal dengan ciri klasik kebaya Indonesia. "Kini, saya bangga kerana rekaan kebaya Indonesia sangat digemari dan diterima di kalangan peminat fesyen negara luar terutama Malaysia," katanya yang mula membangunkan jenama Prestige by Inar untuk kebaya klasik Indonesia sejak 2000. Peralihan dan percubaan berani pereka fesyen Indonesia mempelbagaikan penggunaan fabrik bagi menghasilkan kebaya membuatkan keanggunan pakaian klasik tambah menyerlah. Prestige by Inar sendiri menggunakan fabrik renda sebagai bahan kebaya, dipadankan bersama batik, songket, kain tenun atau kain kembang sesuai acara dihadiri. "Sesuai dengan kehalusan rekaan dan kualiti fabrik, setiap kebaya yang ditawarkan di sini eksklusif dan boleh digayakan sama ada untuk majlis perkahwinan atau ke majlis formal.

"Melalui penghasilan rekaan yang lebih moden dan variasi, saya angankan suatu hari pakaian ini mampu dijadikan pakaian basahan di kalangan remaja juga wanita dewasa. Saya juga mahu mereka berasa bangga mengenakannya," katanya. Setiap rekaan kebaya Prestige by Inar boleh dimiliki dengan harga RM3,500 sehingga RM8,000 bergantung kepada rekaan. Untuk tempahan, kunjungi butik utamanya di Jl Ir H Juanda No 75 ii, Cireundeu, Jakarta Selatan atau layari www.prestigeinar.com untuk keterangan lanjut.
INFO: Kebaya
Wanita Indonesia dan Malaysia mula mengenakan kebaya yang diperbuat daripada bahan tipis dipadankan bersama sarung, batik atau songket bermotif warna warni sejak ratusan tahun dulu.
Di Pulau Jawa sekitar 1600, kebaya adalah pakaian rasmi keluarga kerajaan. Ketika itu, kebaya dihasilkan menggunakan kain tenunan mori dengan sulaman sutera berwarna-warni. Kebaya Nyonya pula dicipta Peranakan Cina dari Melaka. Mereka memakai kebaya bersama sarung dan kasut bersulam manik yang dipanggil 'kasut manek'.

Kini, kebaya klasik melalui pelbagai revolusi malah pereka fesyen membuat pengubahsuai terhadap rekaan dan penggunaan material supaya pemakaiannya seiring musim. Kini, pilihan kebaya Nyonya dan Indonesia boleh digayakan dengan jeans dan skirt.

Fikirkan kedudukan Melayu sewaktu gubal dasar negara

TULISAN Awang Selamat bertemakan "Jagalah Hati Melayu" dalam Mingguan Malaysia kelmarin sepatutnya direnung bukan sahaja oleh pemimpin UMNO tetapi seluruh pemimpin Barisan Nasional (BN).

Bagi Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM), tulisan itu merupakan satu anjuran yang berani dan ditunggu-tunggu oleh orang Melayu. Harapan kami terlalu menggunung agar pemimpin UMNO tidak melupakan saraf tunjang politik BN dan Malaysia iaitu kaum Melayu.

KPPM bersetuju bahawa kebimbangan Awang Selamat itu amat berasas. Pernah diberitakan pada suatu ketika, Allahyarham Tun Razak membuat penegasan bahawa "tidak semua yang baik untuk Melayu itu baik untuk negara, dan tidak semua yang baik untuk negara itu baik untuk Melayu".

Dalam memahami pengertian yang cuba dibawakan oleh Tun Razak tersebut ke dalam situasi politik negara hari ini, KPPM senada dengan Awang Selamat. Orang Melayu perlu dirundingi secara tersurat dan tersirat dalam apa-apa penentuan dasar dan hala tuju yang ingin dibawakan oleh kepimpinan baru UMNO.

Sudah pastilah kenyataan Awang Selamat itu perlu difahami sebagai tidak bertentangan dengan semangat perubahan semasa yang ingin dibawakan oleh saf kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperti mana Awang Selamat yang berhujah mengenai berkurangnya sokongan bukan Melayu pada pilihan raya kecil, rekod penyelidikan KPPM juga menunjukkan hal yang sama. Keadaan ini bukan dicirikan oleh perkauman tetapi disebabkan manfaat ekonomi.

Untuk menjelaskan keadaan ini, eloklah sekiranya diberikan contoh peranan UMNO dan Pas di negeri Kelantan berbanding peranan parti-parti bukan Melayu sama ada dalam pakatan pembangkang mahu pun BN dalam tata permainan politik semasa.

Di Kelantan, ada pandangan mengatakan UMNO lebih selesa berada dalam keadaan tewas berbanding menang. Alasannya disebabkan "saluran ekonomi" kepada penggerak di peringkat bahagian dan cawangan akan lebih terfokus berbanding sekiranya UMNO menang di peringkat negeri.

Bagi Pas Kelantan pula, mereka tetap selesa dalam keadaan menang apabila bantuan dari kerajaan Pusat dalam bentuk kewangan tetap diteruskan dalam usaha memujuk rakyat negeri itu.

Itulah resipi kekalahan UMNO dan kemampuan Pas bertahan hampir 20 tahun di Kelantan. Jika dibandingkan, peranan berkenaan tiada bezanya dengan parti-parti dominasi Cina atau India pada masa ini.

Dalam apa pun keadaan, mereka mengandaikan mereka akan dilayan dengan istimewa oleh kerajaan BN atas dasar keperluan ekonomi mereka akan sentiasa dipenuhi. Siri pilihan raya kecil telah membuktikan fakta ini. Tanpa membezakan kedudukan parti bukan Melayu sama ada dalam pakatan pembangkang mahupun BN.

Pada pandangan KPPM, sudah sampai masanya UMNO memilih jalan tengah, iaitu kembali ke perjuangan asal.

Hentikan pujukan. Sesekali cuba kaedah 'tumbukan' pula. Atau tukar strategi, lebih pujukan kepada Melayu sebagai saraf tunjang dan sesekali beri 'tumbukan' kepada parti politik bukan Melayu. Lihat implikasinya dan bandingkan dengan keadaan UMNO semasa yang seolah-olah menghadapi dilema terlalu besar dalam menentukan arah tujunya.

Akhirnya elok sekali lagi direnung tulisan Awang Selamat, "UMNO perlu bijak menyulam peranannya sebagai pemimpin BN untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. Jasa UMNO terlalu besar kepada orang Melayu, begitu juga kepada kaum lain walaupun hakikat ini cuba dinafikan.

UMNOlah yang mempertahankan bukan Melayu sejak awal kemerdekaan daripada aliran politik ekstremisme. Ketika Pas menjauhi parti dan kaum bukan Melayu serta menganggap mereka kafir selama beberapa dekad lamanya, UMNO menghulur tangan permuafakatan. Menerusi dasar dan naungan UMNO, kaum minoriti bukan sahaja terjamin hak malah mampu menguasai ekonomi negara. Sesungguhnya UMNO tidak pernah mengkhianati bukan Melayu. Apa yang mula berlaku adalah sebaliknya. Jadi, jagalah hati Melayu terlebih dahulu."
UMAR ZAIN
AJK Kelab Penyelidikan Politik Malaysia