Tuesday, May 19, 2009

Umno terus kekal sebagai teras kestabilan


KINI Umno sudah melepasi usia 63 tahun. Satu usia yang dilihat begitu matang dan melepasi 'jubli intan' kepelbagaian ranjau pengalaman yang pastinya memberikan parti tertua umat Melayu di tanah air ini pengajaran berguna dalam meneruskan perjuangan yang masih relevan ke arah membina dan menyumbang jasa demi pembangunan dan kestabilan negara. Ingatan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kepada ahli parti itu bahawa Umno tidak harus hanya bernostalgia dengan jasa dan bakti jelas memaparkan kekecewaan Perdana Menteri yang generasi kini sudah tidak pandai 'berterima kasih.' Hakikat bahawa perlunya warga negara ini, terutama umat Melayu yang berjumlah 13 juta itu diajar mensyukuri dan berterima kasih akan perjuangan Umno adalah penting dijanakan. Adakah kini rakyat sudah tidak pandai 'berterima kasih'? dan diajarkan pula untuk tidak berterima kasih?

Untuk itu, Umno dan Barisan Nasional (BN) sangat perlu 'mega hiper aktif' untuk mendekati rakyat dan menerangkan kepada mereka situasi sebenar kerajaan dan parti. Pasca pilihan raya umum Mac tahun lalu, bukan saja Umno, malah komponen BN dilihat berdepan dengan satu senario baru yang pasti memberi petunjuk jelas wujud satu 'rasa tidak senang' rakyat terhadap kepemimpinan Umno dan juga komponen parti dalam BN itu sendiri. Kemerosotan prestasi ini bukan semata-mata kegagalan Umno. Yang jelas, dalam situasi politik semasa, Umno berjaya mengekalkan kerusi yang signifikan di badan legislatif, sama ada di peringkat negeri mahupun di Dewan Rakyat.

Sebagai contoh, di Perak, daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN, 27 adalah disumbangkan Umno. Di Pulau Pinang pula, BN berjaya mengekalkan 11 kerusi DUN – semuanya menerusi Umno, dan ini bermakna Umno adalah suara dominan yang mewakili BN di negeri terbabit. Situasi di Kedah juga menunjukkan daripada 14 kerusi DUN dimenangi BN, 12 disumbangkan Umno. Malah, baki dua lagi kerusi wakil komponen BN lainnya juga berjaya dimenangi di Derga dan Gurun, dikatakan kerana pengundi Melayu menerusi Umno yang tetap memberikan sokongan mereka kepada BN. Selangor juga berlaku hal sama, iaitu 20 kerusi DUN yang dimenangi BN, 18 daripadanya adalah kerana sokongan rakyat terhadap Umno, sementara MCA hanya berjaya kekal di dua kawasan DUN, dan empat dari lima kawasan Parlimen yang dimenangi BN Selangor juga adalah disumbangkan Umno. Ini menunjukkan dalam usia 63 tahun ini, Umno masih relevan, cuma satu keperluan baru menuntut Umno untuk menjadi lebih 'rakyat' dan bukannya elitis. Transformasi konsep dan perjuangan Umno dan juga BN perlu diselaraskan semula dengan situasi semasa.

Kemerosotan prestasi secara mendadak komponen BN lainnya menyebabkan Umno turut sama mengalami gugatan hinggakan berlaku banyak tuntutan tidak berasas oleh pelbagai pihak sama ada dari dalam parti mahupun luar untuk melihat bukan saja Umno itu di 'awetmudakan', bahkan BN itu sendiri perlu ditransformasikan bagi membina 'neo-BN.' Sikap menuduh Umno dengan pelbagai tuduhan sehingga melupakan 'kesalahan' dan pengabaian komponen lainnya di dalam gabungan kerajaan masa kini perlu diubah. Kemerosotan prestasi BN pada pilihan raya umum lalu bukan hanya perlu dipersalahkan kepada Umno, tetapi jauh daripada itu, parti komponen BN lainnya, terutama MCA, Gerakan, MIC serta PPP perlu sama bermuhasabah dan memperkukuhkan parti mereka di kalangan masyarakat bukan Melayu untuk menarik semula minat pengundi kepada BN. Membentuk pasukan yang 'membina' adalah lebih penting daripada membina pasukan 'menghina'. Pemimpin dan juga ahli serta pejuang Umno perlu berbangga dan sedar bahawa dengan pengaruh Umno yang berjaya dikekalkan, maka perjuangan Umno di hati masyarakat Melayu Islam di negara ini masih relevan dan mendapat tempat. Jika tidak kerana undi kaum bukan Melayu yang memihak kepada pembangkang, termasuk Pas tidak mungkin begitu banyak negeri dan kawasan Parlimen berjaya dikuasai pembangkang. Hujah ini membuktikan bahawa Umno masih lagi dianggap penting untuk perjuangan Melayu dan Islam di negara ini. Lihat saja peningkatan sokongan pengundi Melayu pada dua pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang nyata masih memilih BN kerana sokongan terhadap Umno.
Tidak dinafikan di sebalik sambutan usia Umno ke-63 kali ini, wujud dengan jelas kesedihan di kalangan pelbagai pihak, terutama pejuang Umno dan juga rakyat yang masih menjiwai pentingnya Umno demi kestabilan negara. Untuk itu, Umno perlu di 'neo-Umno'kan, di 'awetmudakan' serta dimantapkan tema serta hala tuju perjuangan Umno pada zaman baru. Janganlah pula pemimpin Umno dan BN masih berlagak sebagai 'kerajaan' sedangkan negeri pimpinan mereka sudah jatuh ke tangan yang dulunya pembangkang. Saidina Ali pernah menyebutkan bahawa 'kebatilan yang terancang mampu memusnahkan kebenaran yang tidak terancang.' Untuk itu, Umno yang sudah berjasa besar dalam membawa umat Melayu daripada sebuah bangsa yang dulunya menjadi hamba kepada penjajahan dan kini bebas serta merdeka dan kaum lain turut sama merasai nikmat, di sebalik perjuangan Umno perlu segera dibangkitkan semula. Perjuangan Umno perlu direvolusikan. Saranan Datuk Mukhriz Mahathir yang berpandangan bahawa pembaharuan strategi dalam menghadapi pilihan raya penting diamati. Revolusi secara mental, perancangan serta strategi baru harus mula disuntik kepada perjuangan Umno. Jika tidak, segala modus operandi gaya gerak Umno yang diciplak mentah-mentah oleh bekas pemimpinnya yang kini berada pada pihak pembangkang akan terus menyebabkan Umno tidak bebas daripada peniruan dan kebocoran segala 'rahsia' dan strateginya.
Umno perlu berubah wajah membina landasan berteraskan zaman serta bersifat futuristik dan tidak menjadi jumud serta feudalistik. Pendeta tersohor Melayu, Zainal Abidin Ahmad atau Za'aba pada 1923 dalam penulisannya di Malay Mail dan juga disiarkan al-Ikhwan menyatakan kemiskinan Melayu adalah kemiskinan kebendaan dan kerohanian, maka Umno perlu menggerakkan usaha bagi mendepani permasalahan 'kemiskinan' ini dengan segera. Bukan saja Umno menjadi penyalur kepada material semata-mata, tetapi Umno juga perlu menyemarakkan keunggulan perjuangan Melayu ini dengan menyuntik aspek kerohanian di kalangan pemimpin dan ahlinya. Imej Umno yang kini diperlihatkan sama ada benar atau tidak, namun, persepsi rakyat melihat bahawa Umno ini sebagai sebuah institusi politik kapitalis dan material perlu segera diperbetulkan. Jika imej 'Umno kapitalis' tidak segera diperbetulkan, maka ia akan merebakkan masalah dalaman yang semakin parah sehingga tidak mustahil negara akan mengalami ketidakstabilan serius sehingga bukan saja BN, malah pembangkang juga akan turut tergugat apabila negara menjadi anarki akibat tiada lagi kestabilan di dalam persekitaran geopolitik negara ini. Umno adalah teras kestabilan politik di negara ini perlu dijagai dan ditatang bagai minyak yang penuh. Jika tidak pastinya bangsa Melayu dan Islam akan berdepan dengan krisis identiti politik yang sukar dan parah. Penulis ialah pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

No comments:

Post a Comment