Sunday, May 17, 2009

KPKT AKAN SERAGAMKAN AKTA PERATURAN PBT


KUALA PENYU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan berusaha menyeragamkan beberapa akta peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta skim perumahan di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin (Gambar) berkata, usaha itu perlu dilakukan memandangkan terdapat beberapa peraturan seperti Akta Hiburan yang tidak seragam di beberapa buah negeri.

“Sebagai contoh Akta Hiburan di Sabah berbeza kerana ada yang dibuka sehingga pukul satu pagi sementara beberapa buah negeri di Semenanjung dibuka sehingga pukul dua dan tiga pagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Perasmian Serentak (Berkelompok) Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan UMNO DUN Kuala Penyu 2009 di Dewan Dato’ Shahbandar Makang di sini kelmarin

“Usaha itu perlu dibuat agar hasrat kerajaan merealisasikan konsep Satu Malaysia dapat dicapai dengan jayanya,” kata Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort

Beliau yakin hasrat itu mampu dicapai tetapi akan mengambil masa kerana terpaksa mengambil kira beberapa faktor seperti soal politik, alam sekitar serta beberapa masalah lain sebelum dapat menyelaraskan semua peraturan yang terkandung dalam akta PBT.

Kementeriannya juga perlu mendapatkan maklumbalas daripada masyarakat agar peraturan-peraturan yang bakal dibuat oleh kerajaan persekutuan itu akan membawa kebaikan kepada masyarakat. Oleh : Erdie Ab Wahid

No comments:

Post a Comment