Monday, May 18, 2009

Syarat Buka Akaun SSPN Untuk Dapatkan PTPTN Dimansuh

PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Semua pemohon Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini tidak lagi diwajibkan membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan simpanan sekurang-kurangnya RM20.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemansuhan syarat itu bertujuan membolehkan kemudahan PTPTN dinikmati oleh lebih ramai pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.
"Tapi ia tidak pula bermakna kementerian tidak menggalakkan penabungan kerana ia penting jika berlaku perkara di luar jangkaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pengajian Tinggi di sini hari ini.
Seramai 909 pegawai dipilih sebagai penerima anugerah pada majlis itu, termasuk pegawai di peringkat politeknik dan kolej komuniti.
Sementara itu Mohamed Khaled berkata pihaknya juga sedang mengkaji beberapa syarat kelayakan bagi mendapatkan pinjaman PTPTN itu dalam usaha membolehkan kemudahan tersebut dinikmati lebih ramai pelajar.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan yang dimuatkan dalam ruangan forum sebuah akhbar hari ini yang meminta supaya peruntukan pinjaman PTPTN dikira berdasarkan tanggungan sebenar keluarga pemohon.
Dalam perkembangan lain Mohamad Khaled berkata 803 Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi dinaikkan pangkat menerusi Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) yang diwujudkan tahun lalu.
"Skim ini diwujudkan bagi memberi peluang kenaikan pangkat dan kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada pensyarah-pensyarah politeknik dan kolej-kolej komuniti.
"Kelulusan kenaikan pangkat ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam," katanya.
Skim PPPT diwujudkan untuk pensyarah-pensyarah politeknik dan kolej komuniti yang sebelum ini diletakkan di bawah Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Diploma (PPPLD).

No comments:

Post a Comment