Tuesday, May 19, 2009

Setuju tubuh Puteri BN

KUALA LUMPUR 18 Mei – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini bersetuju untuk menubuhkan Puteri BN secara rasmi, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, dengan persetujuan itu, semua parti komponen telah diminta untuk mengambil tindakan susulan berhubung penubuhan sayap terbaru BN itu.

Mesyuarat itu juga, kata Perdana Menteri, bersetuju melantik Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Ketua Penyelaras BN.

Menurutnya, antara tugas utama Soi Lek dalam jawatan baru BN itu ialah memberi tumpuan khusus kepada negeri-negeri dikuasai oleh parti pembangkang.

“Mesyuarat juga bersetuju mewujudkan jawatan Ketua Penerangan di peringkat Dewan Tertinggi BN tetapi calonnya belum ditentukan lagi.

‘‘Calon Ketua Penerangan itu akan diputuskan pada mesyuarat akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebahagian besar ketua komponen BN.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung BN dan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari BN.

Mereka yang dilantik sebagai Pengerusi BN negeri selain beliau di Selangor ialah Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu (Perlis); Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Kedah); Datuk Mustapa Mohamed (Kelantan); Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu); Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (Pulau Pinang) dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (Perak).

Lain-lain ialah Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang); Tan Sri Muhyiddin Yassin (Wilayah Persekutuan); Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan); Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (Melaka); Datuk Abdul Ghani Othman (Johor); Datuk Seri Musa Aman (Sabah) dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud (Sarawak).

‘‘Apa yang kita putuskan hari ini hanya melibatkan kepimpinan BN peringkat negeri dan untuk peringkat bahagian, ia akan dibuat dalam sedikit masa lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment