Monday, May 18, 2009

SATU MALAYSIA- GURU PEMBINA BANGSA NEGARA

DALAM tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran dalam kalangan pemimpin dan rakyat negara ini tentang betapa mustahaknya diwujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan bagi mengganti sistem pendidikan penjajah, memenuhi kehendak negara mengikut acuan sendiri.

Dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan juga bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, tahap sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar. Matlamatnya, memastikan semua sekolah dan pelajar mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk cemerlang.

Atas kesedaran inilah lahirnya satu Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Pada 1974, satu jawatankuasa kabinet ditubuhkan untuk mengkaji semula dasar pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan memenuhi keperluan bagi pembangunan negara dicapai.

Kemudiannya kini, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 di mana salah satu teras strategiknya adalah membina negara bangsa tanpa meninggalkan pembangunan modal insan yang mempunyai nilai tambah.

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran memandang serius terhadap keperluan menyediakan guru-guru yang berkualiti tinggi. Oleh itu, terdapat pelbagai program yang telah dan sedang dijalankan menuju matlamat tersebut seperti program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), pensiswazahan guru melalui pengajian sepenuh masa dan Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dan di Institut Perguruan.

Walaupun begitu, produk yang berkualiti iaitu pelajar yang cemerlang yang mampu dihasilkan daripada bilik darjah sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada kualiti yang ada pada Pengajaran dan Pembelajaran atau lebih biasa dikenali sebagai P & P.

Sempena hari guru yang jatuh pada hari ini yang disambut di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa, amatlah bertepatan dengan dasar-dasar yang telah kerajaan gubal dan wujudkan, hanya berobjektifkan kepentingan anak bangsa.

Sehubungan itu, objektif sambutan hari guru ini antara lain ialah menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan perpaduan dan integrasi, pembangunan negara. Di samping itu memberi sumbangan perkhidmatan kepada pembinaan sosio masyarakat dan secara langsung dapat meninggikan martabat dan taraf guru di mata masyarakat yang menghadapi situasi makin mencabar sekarang.

Justeru, tugas guru bukan hanya terbatas sebagai agen pendidik di dalam kelas tetapi juga sebagai agen perpaduan dan integrasi dalam memupuk semangat cintakan tanah air ini.
Terima kasih guru, ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Puisi ‘Guru Oh Guru’ karya Usman Awang
Berburu ke padang datarDapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajarIbarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umatSeribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment