Tuesday, May 19, 2009

Kebaya kekal identiti bangsa

Sentuhan moden yang dihasilkan masih mengekalkan ciri klasikMANISNYA berkebaya menyerlah santun dan gemalai pemakai. Menyelusur sejarah kebaya, sebenarnya berasal dari tanah Arab. Malah perkataan kebaya berasal daripada perkataan Arab, 'kaba' yang bermaksud pakaian. Sehinggalah kedatangan orang Portugis ke Tenggara Asia pada abad ke-15, olahan gaya dibuat bersama sejenis pakaian wanita Indonesia sehingga akhirnya menghasilkan kebaya.

Halusnya seni buatan kebaya Indonesia tidak kurang hebatnya dengan pelbagai jenis kebaya lain yang tersebar meluas hingga ke Melaka dan digelar kebaya nyonya. Di tanah Jawa sendiri, kebaya dianggap pakaian suci yang hanya boleh dikenakan oleh kerabat monarki Jawa ketika itu. Zaman British memerintah di Tanah Jawa, wanita Eropah turut menyarung kebaya yang diperbuat daripada fabrik mori disulam dengan sulaman sutera pelbagai warna sebagai pakaian rasmi. Kini, evolusi kebaya melalui pelbagai peralihan. Pemilik Prestige by Inar, Inar Suminarsih ditemui ketika Pameran Pengantin Malaysia 2008 di Mid Valley baru-baru ini berkata, peluang mengkomersialkan kebaya klasik Indonesia menjadi cabaran untuknya kerana lumrah dunia fesyen, setiap rekaan pasti melalui perubahan.

"Kebaya lambang identiti sesuatu bangsa. Saya akui, walaupun ada perubahan yang dibuat namun rekaan yang dihasilkan masih kekal dengan ciri klasik kebaya Indonesia. "Kini, saya bangga kerana rekaan kebaya Indonesia sangat digemari dan diterima di kalangan peminat fesyen negara luar terutama Malaysia," katanya yang mula membangunkan jenama Prestige by Inar untuk kebaya klasik Indonesia sejak 2000. Peralihan dan percubaan berani pereka fesyen Indonesia mempelbagaikan penggunaan fabrik bagi menghasilkan kebaya membuatkan keanggunan pakaian klasik tambah menyerlah. Prestige by Inar sendiri menggunakan fabrik renda sebagai bahan kebaya, dipadankan bersama batik, songket, kain tenun atau kain kembang sesuai acara dihadiri. "Sesuai dengan kehalusan rekaan dan kualiti fabrik, setiap kebaya yang ditawarkan di sini eksklusif dan boleh digayakan sama ada untuk majlis perkahwinan atau ke majlis formal.

"Melalui penghasilan rekaan yang lebih moden dan variasi, saya angankan suatu hari pakaian ini mampu dijadikan pakaian basahan di kalangan remaja juga wanita dewasa. Saya juga mahu mereka berasa bangga mengenakannya," katanya. Setiap rekaan kebaya Prestige by Inar boleh dimiliki dengan harga RM3,500 sehingga RM8,000 bergantung kepada rekaan. Untuk tempahan, kunjungi butik utamanya di Jl Ir H Juanda No 75 ii, Cireundeu, Jakarta Selatan atau layari www.prestigeinar.com untuk keterangan lanjut.
INFO: Kebaya
Wanita Indonesia dan Malaysia mula mengenakan kebaya yang diperbuat daripada bahan tipis dipadankan bersama sarung, batik atau songket bermotif warna warni sejak ratusan tahun dulu.
Di Pulau Jawa sekitar 1600, kebaya adalah pakaian rasmi keluarga kerajaan. Ketika itu, kebaya dihasilkan menggunakan kain tenunan mori dengan sulaman sutera berwarna-warni. Kebaya Nyonya pula dicipta Peranakan Cina dari Melaka. Mereka memakai kebaya bersama sarung dan kasut bersulam manik yang dipanggil 'kasut manek'.

Kini, kebaya klasik melalui pelbagai revolusi malah pereka fesyen membuat pengubahsuai terhadap rekaan dan penggunaan material supaya pemakaiannya seiring musim. Kini, pilihan kebaya Nyonya dan Indonesia boleh digayakan dengan jeans dan skirt.

No comments:

Post a Comment