Tuesday, May 19, 2009

Pemimpin mesti dekati rakyat

NIBONG TEBAL 18 Mei - Proses transformasi yang berlaku dalam UMNO perlu diterjemahkan oleh pemimpin di peringkat cawangan dengan bergiat lebih aktif sebagai barisan paling hadapan untuk meraih semula kepercayaan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebagai pemimpin paling dekat dengan akar umbi, pemimpin UMNO cawangan perlu turun padang memberi penjelasan mengenai sebarang isu atau kekeliruan yang ditimbulkan pembangkang.

Katanya, perubahan dalam parti tidak akan mendatangkan manfaat jika ia tidak diterjemahkan secara menyeluruh oleh pemimpin di semua peringkat.

''UMNO di peringkat cawangan perlu bergerak sebagai satu entiti yang betul-betul berfungsi untuk mendekati rakyat dan memberi penjelasan kepada mereka tentang apa juga isu supaya mereka faham.

''Dalam hal ini, aktiviti-aktiviti masyarakat perlu diperbanyakkan supaya rakyat merasa kehadiran kita dan peka terhadap masalah yang mereka hadapi tanpa mengira siapa mereka," katanya.

Zainal Abidin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata demikian pada majlis perasmian serentak persidangan UMNO cawangan-cawangan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Mahmud Zakaria.

Sempena majlis itu, Zainal Abidin turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 140 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) bagi kawasan DUN Sungai Acheh.

Di samping itu beliau berkesempatan menyempurnakan majlis tepung tawar van baru UMNO Bahagian Nibong Tebal.

Zainal Abidin berkata, jentera penerangan di peringkat cawangan perlu memainkan peranan bagi memastikan kekeliruan yang timbul dalam masyarakat dapat diperbetulkan.

Selain itu katanya, pemimpin UMNO di peringkat cawangan perlu bersikap adil dalam segala pendekatan atau pelaksanaan program agar mereka tidak dilihat sebagai pemimpin yang berat sebelah.

''Jangan kita utamakan keluarga kita sahaja sebaliknya beri perhatian secara adil kepada masyarakat setempat. Jangan biarkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti," katanya.

Beliau menambah, usaha berterusan juga perlu dilakukan untuk menambah lagi ahli di peringkat akar umbi dengan memberi keutamaan kepada golongan muda.

No comments:

Post a Comment