Tuesday, May 19, 2009

Bangga jadi anak Malaysia

Bersama Dr Sheikh Muszaphar
Selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat negara berjaya tawan puncak Everest, Kutub Utara dan Selatan serta penjelajahan ke angkasa lepas AKHIR bulan ini, semua peringkat rakyat akan menyambut 31 Ogos, Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-51. Mengimbau kembali sepanjang 51 tahun lalu, pelbagai pencapaian yang telah dicapai oleh negara membuat kita berbangga menjadi anak Malaysia - menawan puncak Everest, merentasi Kutub Utara dan Selatan serta penjelajahan ke angkasa lepas.

Semua kejayaan itu membuktikan rakyat Malaysia mampu menyahut cabaran Malaysia Boleh sekali gus membuktikan kita boleh mencapai apa juga impian jika berusaha dengan tekun dan tidak mengenal jemu. Bagaimanapun, adakah memadai dengan pencapaian itu semata-mata? Apakah erti kemerdekaan dalam konteks sebenar, terutama selepas 50 tahun merdeka? Jika pada 31 Ogos 1957, kemerdekaan membawa erti kebebasan dari penjajah British, tetapi kini apakah erti kebebasan di kalangan rakyat terutama golongan remaja? Ketika saya berlatih selama setahun di StarCity, Russia, saya sedar bahawa saya membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. Apa saja yang saya lakukan akan mencerminkan kedaulatan negara.

Seluruh dunia memerhati seorang anak Melayu melengkapkan diri selama setahun di negara yang jauh lagi asing untuk membuat pelbagai persediaan sebelum ke angkasa lepas. Saya berasa sungguh patriotik dan bersemangat untuk menonjolkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Detik mengibarkan Jalur Gemilang di angkasa lepas ditontoni jutaan manusia di seluruh pelusuk dunia membuatkan saya sungguh terharu dan bangga menjadi anak Malaysia. Saya yakin suasana dan emosi ini juga dapat dirasakan oleh setiap rakyat Malaysia yang menonton secara langsung selama 12 hari di angkasa lepas. Angkasa lepas mengubah persepsi diri untuk menjadi lebih prihatin terhadap isu global dan inilah yang dijanjikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kemerdekaan buat diri ini, terutama pada era sains dan teknologi setelah 50 tahun merdeka adalah lebih kepada kebebasan minda, melahirkan lebih ramai modal insan yang kompetitif dan berilmu tinggi. Kita harus mempunyai fikiran terbuka, daya saing yang tinggi dan bukan setakat ‘jaguh kampung’, tetapi mampu bersaing dengan negara Barat. Oleh itu, bahasa Inggeris perlu diberi perhatian secara serius untuk bersaing dengan negara maju lain.

Ini tidak bermaksud kita bertolak ansur terhadap Bahasa Malaysia kerana bahasa ibunda tetap menjadi bahasa kehidupan seharian. Menyambut kemerdekaan seharusnya datang dari sanubari setiap individu yang begitu bersemangat dan berbangga menjadi anak Malaysia. Ia tidak seharusnya diraikan hanya pada 31 Ogos tetapi dipupuk sejak kecil. Saya masih ingat kenangan manis menyambut kemerdekaan ketika zaman sekolah apabila ibu akan memakaikan lencana bendera Malaysia pada baju sekolah dan diberikan Jalur Gemilang untuk dibawa ke sekolah. Di sekolah, aktiviti seperti perarakan untuk mengembalikan memori suasana kemerdekaan. Kawan-kawan dari pelbagai kaum, Melayu, Cina dan India akan berpegang tangan melaungkan nama Malaysia sekuat hati. Kesempatan belajar di India menyebabkan saya merasai pengalaman rakyat negara berkenaan menyambut kemerdekaan dengan perarakan seluruh negara serta mengibarkan bendera. Malaysia sebagai negara tercinta tidak kurang hebat. Negara berbilang kaum yang hidup dengan penuh harmoni dan bersatu-padu. Sikap perpaduan inilah yang harus dikekalkan untuk menjamin keutuhan bangsa agama dan negara. Sikap hormat menghormati ini harus dikekalkan di kalangan rakyat. Sempena bulan kemerdekaan ini, saya berharap agar setiap individu memainkan peranan bagi memastikan keharmonian negara. Kemerdekaan minda dalam mengangkasakan bangsa, agama dan negara harus diberi perhatian untuk menguasai ilmu sains dan teknologi supaya Malaysia mampu bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat global. Untukmu Malaysia - buat negara tercinta Selamat Menyambut Kemerdekaan yang ke 51 Wassalam Dr Sheikh Muszaphar

1 comment:

  1. Sebanga-banga kita selaku rakyat Negara Malaysia memang bagus banga akan Negeri dan Negara kita sendiri.Apa yg saya TIDAK BANGA ialah Pemberian Mykad Malaysia kepada PTI (Philippine,Indonesia,India dan Pakistan) ini tidak boleh membiarkan kita merasa bangga...Kerana ini adalah 1PENGHIANATAN kepada Rakyat d dalam negara ini.....Apakah Datuk Lajim tidak merasakan 1PENGHIANATAN jika Penganugerahan Mykad Malaysia ini terus menerus sahaja diberikan kepada PTI dengan Prosedur yg PALSU dan MEMALUKAN !!! Datuk dan YB2 yg lain mungkin tidak merasakan ini semuanya, Kerana Menteri,Datuk dan YB masa DAPAN sudahpun CERAH...Tetapi bagaimana Rakyat dan Pengundi Datuk?

    ReplyDelete