Tuesday, May 19, 2009

Umno Sabah giat perjelas gagasan PM

KOTA KINABALU: Jentera Penerangan Umno Sabah akan mempergiat usaha memberi penjelasan kepada ahli parti dan anggota masyarakat mengenai konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan mereka tidak dieksploitasi pembangkang.
Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Musa Aman, berkata penjelasan itu akan dilaksanakan melalui pelbagai kaedah dalam program rasmi atau sebaliknya kerana ia bakal menentukan kelangsungan perjuangan Umno pada masa depan.
Katanya, jentera berkenaan yang dipimpin Datuk Sapawi Ahmad akan turut memberi penjelasan mengenai pelbagai isu politik dan ekonomi semasa, sekali gus mengelak ahli Umno dan anggota masyarakat terpedaya dengan dakyah pembangkang.

"Jentera penerangan Umno di negeri ini sering diberi panduan bagi memastikan mereka menjalankan tugas dengan baik. Sapawi sudah merangka pelbagai program, khususnya pada peringkat akar umbi bagi memantapkan parti demi kebaikan rakyat.
"Beliau kerap mengadakan perjumpaan dengan Ketua Penerangan Umno bahagian. Umno Sabah akan menjemput Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan berjumpa dengan semua Ketua Penerangan Umno bahagian bagi meningkatkan fungsi mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perhubungan Umno negeri di Bangunan Umno, di sini malam kelmarin.

Kelmarin, Ahmad dilaporkan berkata, lebih 60,000 jentera penerangan Umno pada peringkat cawangan gagal berfungsi kerana tidak memahami tugas masing-masing.
Kegagalan memahami tugas menyebabkan mereka tidak aktif dalam memberi penjelasan mengenai isu semasa kepada rakyat.
Musa juga berkata, 425,094 ahli Umno dalam 5,240 Umno cawangan di negeri ini dibenarkan menghadiri mesyuarat cawangan mulai hari ini hingga 30 Jun ini.
Sehubungan itu, Perhubungan Umno negeri akan mempergiat usaha meningkatkan ahli parti bagi memperkukuh perjuangan parti dan Barisan Nasional, katanya.

No comments:

Post a Comment