Tuesday, May 19, 2009

Pesta Rumbia perlu tonjolkan pelbagai produk tempatan

BEAUFORT 6 Mei - Pesta Rumbia yang diadakan setiap tahun di daerah ini harus menonjolkan lebih banyak produk tempatan dan tidak hanya terhad kepada produk berasaskan rumbia sahaja.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin berkata, transformasi berkenaan penting bagi memastikan pesta itu dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di daerah ini.

"Perayaan pesta Rumbia yang sejak sekian lama dianjurkan di daerah ini bukan sebagai pesta semata-mata, tetapi dalam jangka panjang, ia perlu memberikan manfaat terhadap kesan pembangunan serta peningkatan sumber ekonomi rakyat.

"Kepelbagaian daerah ini dalam industri pelancongan turut dapat dilihat dengan pelbagai produk berasaskan rumbia yang sudah dikenali ramai, namun pada masa yang sama, produk lain perlu ditonjolkan sebagai produk baru yang membantu menjadi daya tarikan baru" katanya yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Pelaksana Perayaan Pesta Rumbia ke-20 di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmond Teo.

Menurut Lajim, transformasi perlu dilakukan bagi menjadikan pesta Rumbia platform memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan yang merangkumi budaya, makanan dan kraftangan masyarakat tempatan.

Dalam pada itu, beliau juga berharap masyarakat di daerah ini mengambil peluang menjadikan perayaan Pesta Rumbia sebagai medan menonjolkan produk pelancongan tempatan.

"Apabila kita dapat memperagakan sesuatu yang menarik, unik dan berkualiti sebagai produk beridentitikan kehidupan masyarakat kawasan ini, sudah tentu ia akan menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk melawat ke sini" katanya.

Sementara itu, katanya lagi, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur di daerah ini seperti kemudahan jalan raya bagi membantu melonjakkan pelancongan daerah.

No comments:

Post a Comment