Tuesday, May 19, 2009

Umno perlu berani buat perubahan, menerajui pembaharuan

Parti wajar sentiasa berada di saf hadapan untuk menunjukkan hala tuju baru negara
ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah SWT, maka dapatlah kita berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk meraikan tarikh kelahiran parti keramat kita, Umno, pada hari ini, 11 Mei. Dengan sambutan ini, maka genaplah usia Umno lebih enam dasawarsa atau lebih tepat, usia Umno mencecah 63 tahun. Enam puluh tiga tahun, hari ini menandakan sudah lebih enam dekad Umno lahir sebagai wadah politik rumpun Melayu, bagi memartabatkan bangsa, agama dan negara. Dalam tempoh 63 tahun, satu perjalanan yang menjangkau masa yang begitu lama, jasa Umno, budi Umno kepada bangsa, agama dan negara tidak ternilai selamanya. Umno memulakan detik yang amat bersejarah, membuka tirai kepada wujudnya suatu bangsa yang boleh digelar sebagai bangsa yang merdeka, sebagai sebuah bangsa yang berdaulat apabila kita adalah saf barisan hadapan bersama-sama kepada rakyat kita, bersama-sama MCA dan MIC ketika itu – berjuang menentang Malayan Union.

Kemudian sama-sama kita melihat peristiwa bendera Union Jack diturunkan dan bendera kita yang berdaulat dinaikkan dengan rasa penuh megah dan bangga. Kita juga berhimpun pada hari ini untuk mengimbau kembali perjalanan kita, perjalanan selama 63 tahun yang membawa kepada begitu banyak perubahan besar kepada negara kita. Daripada bangsa yang terhina menjadi bangsa yang bermaruah; daripada negara yang tidak dikenali kepada sebuah negara yang menjadi contoh kepada negara sedang membangun; daripada rakyat yang miskin dan serba kekurangan kepada rakyat yang hari ini, kebanyakannya sudah pun melepasi garis kemiskinan, malah lahir golongan intelek, profesional, cendekiawan. Ini hasil perjuangan dan dasar yang dilakukan Umno selama ini. Tidak ada suatu pun perubahan, sama ada perubahan besar atau kecil, jika tidak kerana hasil perjuangan Umno.

Namun kita bukan sebuah parti yang hanya akan bersandar kepada nostalgia. Dengan hanya melihat ke belakang mengenai betapa besarnya nilai kita, betapa besarnya kejayaan kita. Tetapi hakikatnya, kita tidak akan terus kekal berkuasa selagi kita tidak dapat merasai denyutan nadi rakyat dan aspirasi rakyat. Kita mesti menjadi parti yang sanggup berubah. Kalau kita berada di keluk pembaharuan, kalau selama ini kita adalah parti yang menerajui perubahan, mengapa tidak kita sekali lagi muncul sebagai parti yang berani membuat perubahan kepada parti dan negara Malaysia yang tercinta ini? Saya yakin, dengan pengalaman kita walaupun berada di lingkaran yang kecil, tapi kita sanggup belajar daripada pengalaman, waima getir dan pahit sekalipun akan kita jadikan itu sebagai ingatan dan kita sanggup melakukan perubahan yang besar. Maka insya-Allah, kita boleh bangkit dan bangun untuk menjadi parti yang lebih kuat, lebih subur dan lebih berjaya lagi. Saya mengajukan perubahan kerana mana-mana parti yang tidak berani membuat perubahan, walaupun parti itu begitu banyak jasanya, namun akhirnya jasa itu akan tinggal dalam lipatan sejarah.

Mengapa perkara ini berlaku? Bukan kerana rakyat tidak menilai jasa dan budi, tetapi rakyat ingin melihat ke hadapan, rakyat ingin tahu apa yang hendak kita lakukan untuk mereka dan negara, dan lebih-lebih lagi generasi pasca merdeka, generasi pasca hitam 13 Mei, generasi pasca krisis kewangan Asia, yang akan menjadi pengundi, malah ada yang menjadi pengundi dan ramai lagi akan menjadi pengundi menjelang pilihan raya akan datang. Mereka baca jasa Umno, tapi mereka tidak boleh menghayati jasa kita itu. Mereka buka buku sejarah, tapi mereka tidak berdiri bersama waktu bendera Union Jack diturunkan. Mereka baca buku mengenai proses pengisian kemerdekaan tapi mereka tidak bersama-sama berjalan meniti bendang untuk mengisi kemerdekaan. Mereka hasil kejayaan kita dan mereka membuka serta membawa minda yang terbuka. Mereka berfikir lebih kritis kerana minda mereka telah pun terbuka melalui dasar pelajaran kita selama ini. Oleh itu, Umno tidak ada pilihan. Kalau Umno ingin jadi parti yang relevan, parti yang menjadi teras pada pemerintahan, Umno mesti menjadi parti yang berani membuat perubahan, menerajui pembaharuan yang berada di saf hadapan untuk menunjukkan hala tuju yang baru untuk negara kita pada keseluruhannya. Insya-Allah, perubahan kini akan kita lakukan. Saya sudah memulakan kepemimpinan. Saya mengambilalih jawatan sebagai Perdana Menteri dengan membawa cogan kata '1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Prestasi Diutamakan.' 1Malaysia bukan satu perkara yang baru sebenarnya. Kalau kita menyorot kembali perjuangan Umno, Allahyarham Datuk Onn Jaafar cuba membuka pintu Umno pada kaum lain tapi tidak berjaya ketika itu. Selepas itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman menubuhkan Perikatan berdasarkan pada semangat kebersamaannya. Perdana Menteri kedua, Allahyarham ayahanda saya, Tun Razak (Hussein) menukar Perikatan menjadi Barisan Nasional dan waktu Tun Dr Mahathir (Mohamad) menjadi Perdana Menteri, beliau melontarkan konsep bangsa Malaysia, manakala zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan misi nasionalnya. Apabila saya menyusul dengan 1Malaysia, ia berpaksi kepada Perlembagaan negara kita, berpaksi kepada Rukun Negara dan berpaksi kepada hakikat serta realiti bahawa kita adalah negara majmuk dan kejayaan Umno mestilah bersandar kepada sokongan orang Melayu dan juga sokongan rakyat daripada pelbagai kaum. Insya-Allah, dengan semangat yang lebih inklusif ini, dengan semangat kebersamaan ini, kita akan dapat kekuatan baru untuk menghadapi pelbagai cabaran. Kita tidak boleh alpa dengan hakikat bahawa sistem demokrasi berparlimen adalah suara rakyat, suara keramat. Kita tidak boleh asyik dengan kuasa dan jawatan. Apa guna jawatan dalam parti kalau kita kehilangan kuasa. Maka kita mesti jadi anggota parti yang sanggup berkhidmat. Apabila kita membuat pembaharuan, ia mestilah disertai bukan saja dengan pembaharuan dan perubahan parti, tapi budaya baru yang mesti kita serapkan ke dalam parti Umno kita. Budaya baru Umno ini mestilah berpaksi kepada semangat sanggup berkhidmat dan meletak kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan lain. Budaya yang tawaduk Umno. Inilah budaya yang mesti kita pupuk di kalangan ahli parti. Rakyat tidak mahu lagi pada sebutan retorik. Rakyat ingin melihat kejayaan dalam usaha kita melakukan perubahan untuk negara. Teringat saya pada sebahagian drama Shakespeare yakni yang disebut Mark Anthony ketika pengebumian Julius Ceasar: "Kejahatan yang manusia lakukan akan sentiasa diingat, manakala kebaikan pula akan tertanam dengan tulang belulang mereka". Saya tidak setuju dengan pendapat Shakespeare ini, kerana manusia akan menilai kebaikan yang dilakukan kita. Janganlah kita berasakan bahawa khidmat kita yang ikhlas tidak akan diperhati dan dihargai oleh rakyat, kerana pada akhirnya sebagai orang Islam, kita percaya Allah adalah penilai yang sebaik-baiknya. Sebagai sebuah parti, kita akan hadapi banyak cabaran dan banyak dugaan dalam perjalanan kita. Apatah lagi pada hari ini, yang sepatutnya kita sambut dengan suasana yang sungguh meriah, tapi sedikit sebanyak dicemari dengan keputusan mahkamah yang kita ketahui pada hari ini (kelmarin). Dalam sejarah Umno, kita sudah menerima keputusan mahkamah yang mengharamkan Umno dan kita bangkit daripada keputusan itu dengan membina Umno Baru yang menjadi lebih bagus. Saya percaya, semangat yang sama mesti ada pada kita. Kita menang dua keputusan mahkamah, kita kalah satu. Dari segi moral ialah kemenangan 2-1. Ini bukan penghujung jalan. Masih ada lagi jalan untuk difikir langkah-langkah yang sewajarnya. Insya-Allah, saya dan rakan saya dalam Majlis Tertinggi akan fikir semasak-masaknya, dengan penuh kesabaran dan ketabahan mengenai apakah jalan terbaik untuk parti Umno dan BN yang kita kasihi. Mudah-mudahan, Allah akan memberi petunjuk kepada kita untuk membuat keputusan yang terbaik demi masa depan perjuangan. Tetapi hati saya menjadi begitu riang apabila melihat dewan ini penuh dengan penyokong dan ahli Umno. Rakan kita dalam BN yang sanggup bersama dengan kita, termasuk bekas Presiden parti, Tun Dr Mahathir, yang sanggup bersama-sama kita pada hari ini. Inilah keluarga kita dan atas kekuatan keluarga ini kita akan menyusun langkah menghadapi apa juga cabaran dan tanpa patah semangat, kita tahu di bahu kita tergalas amanah menjunjung amanat untuk bangsa, agama dan negara. Kita tidak akan mengabaikan apapun yang dicurah pemimpin kita sebelum ini. Mereka mengharapkan kita meneruskan perjuangan Umno dan insya-Allah, bukan saja kita akan meneruskan perjuangan Umno tapi kita akan letakkan Umno di atas tempat yang sebaik-baiknya bagi parti keramat yang kita kasihi ini. Selamat berjuang dan terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Semoga Allah memberkati perjuangan kita semua. Selamat menyambut hari kelahiran parti Umno kita yang ke-63!

1 comment: