Tuesday, May 19, 2009

RM 60 Juta bina Jambatan Sitompok


KUALA PENYU– Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM60 Juta bagi membina Jambatan Sungai Sitompok disini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Lajim Ukin berkata, pembinaan jambatan sitompok akan di jangka di bina sebelum penghujung tahun ini.

”Walaubagaimanapun, Masyarakat didaerah ini dan pengguna perkhidmatan feri yang kini masih digunakan bagi menghubungkan pekan kuala penyu dengan kawasan yang berhampiran agar dapat memberi ruang dan masa kepada kerajaan pusat bagi melaksanakan projek berkenaan.” Katanya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan (Berkelompok) Persidangan Tahunan Cawangan – cawangan UMNO DUN Kuala Penyu 2009 di dewan Dato Shah Bandar Makang baru – baru ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Bahagian UMNO,Isnin aliasneh,Naib ketua Bahagian,Datuk Kimjus Duim,Ketua Pemuda UMNO,Ishak Ibrahim,Ketua Puteri UMNO Beaufort,Saridah Mohd Dun dan AJK UMNO Bahagian Beaufort.

Beliau berkata, kerajaan kini masih dalam proses merekabentuk jambatan berkenaan sebelum proses pembinaan dilaksanakan.

Katanya, apabila terbinanya projek pembinaan jambatan tersebut itu nanti, kesesakan yang berlaku pada perkhidmatan feri kini akan dapat diatasi kelak.

Sementara itu, Lajim berkata, Projek menaiktaraf dewan dato shah bandar makang disini juga akan turut dinaik taraf bagi kegunaan dan keselesaan masyarakat daerah ini dalam tempoh terdekat.

Umno perlu berani buat perubahan, menerajui pembaharuan

Parti wajar sentiasa berada di saf hadapan untuk menunjukkan hala tuju baru negara
ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah SWT, maka dapatlah kita berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk meraikan tarikh kelahiran parti keramat kita, Umno, pada hari ini, 11 Mei. Dengan sambutan ini, maka genaplah usia Umno lebih enam dasawarsa atau lebih tepat, usia Umno mencecah 63 tahun. Enam puluh tiga tahun, hari ini menandakan sudah lebih enam dekad Umno lahir sebagai wadah politik rumpun Melayu, bagi memartabatkan bangsa, agama dan negara. Dalam tempoh 63 tahun, satu perjalanan yang menjangkau masa yang begitu lama, jasa Umno, budi Umno kepada bangsa, agama dan negara tidak ternilai selamanya. Umno memulakan detik yang amat bersejarah, membuka tirai kepada wujudnya suatu bangsa yang boleh digelar sebagai bangsa yang merdeka, sebagai sebuah bangsa yang berdaulat apabila kita adalah saf barisan hadapan bersama-sama kepada rakyat kita, bersama-sama MCA dan MIC ketika itu – berjuang menentang Malayan Union.

Kemudian sama-sama kita melihat peristiwa bendera Union Jack diturunkan dan bendera kita yang berdaulat dinaikkan dengan rasa penuh megah dan bangga. Kita juga berhimpun pada hari ini untuk mengimbau kembali perjalanan kita, perjalanan selama 63 tahun yang membawa kepada begitu banyak perubahan besar kepada negara kita. Daripada bangsa yang terhina menjadi bangsa yang bermaruah; daripada negara yang tidak dikenali kepada sebuah negara yang menjadi contoh kepada negara sedang membangun; daripada rakyat yang miskin dan serba kekurangan kepada rakyat yang hari ini, kebanyakannya sudah pun melepasi garis kemiskinan, malah lahir golongan intelek, profesional, cendekiawan. Ini hasil perjuangan dan dasar yang dilakukan Umno selama ini. Tidak ada suatu pun perubahan, sama ada perubahan besar atau kecil, jika tidak kerana hasil perjuangan Umno.

Namun kita bukan sebuah parti yang hanya akan bersandar kepada nostalgia. Dengan hanya melihat ke belakang mengenai betapa besarnya nilai kita, betapa besarnya kejayaan kita. Tetapi hakikatnya, kita tidak akan terus kekal berkuasa selagi kita tidak dapat merasai denyutan nadi rakyat dan aspirasi rakyat. Kita mesti menjadi parti yang sanggup berubah. Kalau kita berada di keluk pembaharuan, kalau selama ini kita adalah parti yang menerajui perubahan, mengapa tidak kita sekali lagi muncul sebagai parti yang berani membuat perubahan kepada parti dan negara Malaysia yang tercinta ini? Saya yakin, dengan pengalaman kita walaupun berada di lingkaran yang kecil, tapi kita sanggup belajar daripada pengalaman, waima getir dan pahit sekalipun akan kita jadikan itu sebagai ingatan dan kita sanggup melakukan perubahan yang besar. Maka insya-Allah, kita boleh bangkit dan bangun untuk menjadi parti yang lebih kuat, lebih subur dan lebih berjaya lagi. Saya mengajukan perubahan kerana mana-mana parti yang tidak berani membuat perubahan, walaupun parti itu begitu banyak jasanya, namun akhirnya jasa itu akan tinggal dalam lipatan sejarah.

Mengapa perkara ini berlaku? Bukan kerana rakyat tidak menilai jasa dan budi, tetapi rakyat ingin melihat ke hadapan, rakyat ingin tahu apa yang hendak kita lakukan untuk mereka dan negara, dan lebih-lebih lagi generasi pasca merdeka, generasi pasca hitam 13 Mei, generasi pasca krisis kewangan Asia, yang akan menjadi pengundi, malah ada yang menjadi pengundi dan ramai lagi akan menjadi pengundi menjelang pilihan raya akan datang. Mereka baca jasa Umno, tapi mereka tidak boleh menghayati jasa kita itu. Mereka buka buku sejarah, tapi mereka tidak berdiri bersama waktu bendera Union Jack diturunkan. Mereka baca buku mengenai proses pengisian kemerdekaan tapi mereka tidak bersama-sama berjalan meniti bendang untuk mengisi kemerdekaan. Mereka hasil kejayaan kita dan mereka membuka serta membawa minda yang terbuka. Mereka berfikir lebih kritis kerana minda mereka telah pun terbuka melalui dasar pelajaran kita selama ini. Oleh itu, Umno tidak ada pilihan. Kalau Umno ingin jadi parti yang relevan, parti yang menjadi teras pada pemerintahan, Umno mesti menjadi parti yang berani membuat perubahan, menerajui pembaharuan yang berada di saf hadapan untuk menunjukkan hala tuju yang baru untuk negara kita pada keseluruhannya. Insya-Allah, perubahan kini akan kita lakukan. Saya sudah memulakan kepemimpinan. Saya mengambilalih jawatan sebagai Perdana Menteri dengan membawa cogan kata '1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Prestasi Diutamakan.' 1Malaysia bukan satu perkara yang baru sebenarnya. Kalau kita menyorot kembali perjuangan Umno, Allahyarham Datuk Onn Jaafar cuba membuka pintu Umno pada kaum lain tapi tidak berjaya ketika itu. Selepas itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman menubuhkan Perikatan berdasarkan pada semangat kebersamaannya. Perdana Menteri kedua, Allahyarham ayahanda saya, Tun Razak (Hussein) menukar Perikatan menjadi Barisan Nasional dan waktu Tun Dr Mahathir (Mohamad) menjadi Perdana Menteri, beliau melontarkan konsep bangsa Malaysia, manakala zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan misi nasionalnya. Apabila saya menyusul dengan 1Malaysia, ia berpaksi kepada Perlembagaan negara kita, berpaksi kepada Rukun Negara dan berpaksi kepada hakikat serta realiti bahawa kita adalah negara majmuk dan kejayaan Umno mestilah bersandar kepada sokongan orang Melayu dan juga sokongan rakyat daripada pelbagai kaum. Insya-Allah, dengan semangat yang lebih inklusif ini, dengan semangat kebersamaan ini, kita akan dapat kekuatan baru untuk menghadapi pelbagai cabaran. Kita tidak boleh alpa dengan hakikat bahawa sistem demokrasi berparlimen adalah suara rakyat, suara keramat. Kita tidak boleh asyik dengan kuasa dan jawatan. Apa guna jawatan dalam parti kalau kita kehilangan kuasa. Maka kita mesti jadi anggota parti yang sanggup berkhidmat. Apabila kita membuat pembaharuan, ia mestilah disertai bukan saja dengan pembaharuan dan perubahan parti, tapi budaya baru yang mesti kita serapkan ke dalam parti Umno kita. Budaya baru Umno ini mestilah berpaksi kepada semangat sanggup berkhidmat dan meletak kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan lain. Budaya yang tawaduk Umno. Inilah budaya yang mesti kita pupuk di kalangan ahli parti. Rakyat tidak mahu lagi pada sebutan retorik. Rakyat ingin melihat kejayaan dalam usaha kita melakukan perubahan untuk negara. Teringat saya pada sebahagian drama Shakespeare yakni yang disebut Mark Anthony ketika pengebumian Julius Ceasar: "Kejahatan yang manusia lakukan akan sentiasa diingat, manakala kebaikan pula akan tertanam dengan tulang belulang mereka". Saya tidak setuju dengan pendapat Shakespeare ini, kerana manusia akan menilai kebaikan yang dilakukan kita. Janganlah kita berasakan bahawa khidmat kita yang ikhlas tidak akan diperhati dan dihargai oleh rakyat, kerana pada akhirnya sebagai orang Islam, kita percaya Allah adalah penilai yang sebaik-baiknya. Sebagai sebuah parti, kita akan hadapi banyak cabaran dan banyak dugaan dalam perjalanan kita. Apatah lagi pada hari ini, yang sepatutnya kita sambut dengan suasana yang sungguh meriah, tapi sedikit sebanyak dicemari dengan keputusan mahkamah yang kita ketahui pada hari ini (kelmarin). Dalam sejarah Umno, kita sudah menerima keputusan mahkamah yang mengharamkan Umno dan kita bangkit daripada keputusan itu dengan membina Umno Baru yang menjadi lebih bagus. Saya percaya, semangat yang sama mesti ada pada kita. Kita menang dua keputusan mahkamah, kita kalah satu. Dari segi moral ialah kemenangan 2-1. Ini bukan penghujung jalan. Masih ada lagi jalan untuk difikir langkah-langkah yang sewajarnya. Insya-Allah, saya dan rakan saya dalam Majlis Tertinggi akan fikir semasak-masaknya, dengan penuh kesabaran dan ketabahan mengenai apakah jalan terbaik untuk parti Umno dan BN yang kita kasihi. Mudah-mudahan, Allah akan memberi petunjuk kepada kita untuk membuat keputusan yang terbaik demi masa depan perjuangan. Tetapi hati saya menjadi begitu riang apabila melihat dewan ini penuh dengan penyokong dan ahli Umno. Rakan kita dalam BN yang sanggup bersama dengan kita, termasuk bekas Presiden parti, Tun Dr Mahathir, yang sanggup bersama-sama kita pada hari ini. Inilah keluarga kita dan atas kekuatan keluarga ini kita akan menyusun langkah menghadapi apa juga cabaran dan tanpa patah semangat, kita tahu di bahu kita tergalas amanah menjunjung amanat untuk bangsa, agama dan negara. Kita tidak akan mengabaikan apapun yang dicurah pemimpin kita sebelum ini. Mereka mengharapkan kita meneruskan perjuangan Umno dan insya-Allah, bukan saja kita akan meneruskan perjuangan Umno tapi kita akan letakkan Umno di atas tempat yang sebaik-baiknya bagi parti keramat yang kita kasihi ini. Selamat berjuang dan terima kasih atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Semoga Allah memberkati perjuangan kita semua. Selamat menyambut hari kelahiran parti Umno kita yang ke-63!

Bangga jadi anak Malaysia

Bersama Dr Sheikh Muszaphar
Selepas 51 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat negara berjaya tawan puncak Everest, Kutub Utara dan Selatan serta penjelajahan ke angkasa lepas AKHIR bulan ini, semua peringkat rakyat akan menyambut 31 Ogos, Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-51. Mengimbau kembali sepanjang 51 tahun lalu, pelbagai pencapaian yang telah dicapai oleh negara membuat kita berbangga menjadi anak Malaysia - menawan puncak Everest, merentasi Kutub Utara dan Selatan serta penjelajahan ke angkasa lepas.

Semua kejayaan itu membuktikan rakyat Malaysia mampu menyahut cabaran Malaysia Boleh sekali gus membuktikan kita boleh mencapai apa juga impian jika berusaha dengan tekun dan tidak mengenal jemu. Bagaimanapun, adakah memadai dengan pencapaian itu semata-mata? Apakah erti kemerdekaan dalam konteks sebenar, terutama selepas 50 tahun merdeka? Jika pada 31 Ogos 1957, kemerdekaan membawa erti kebebasan dari penjajah British, tetapi kini apakah erti kebebasan di kalangan rakyat terutama golongan remaja? Ketika saya berlatih selama setahun di StarCity, Russia, saya sedar bahawa saya membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa. Apa saja yang saya lakukan akan mencerminkan kedaulatan negara.

Seluruh dunia memerhati seorang anak Melayu melengkapkan diri selama setahun di negara yang jauh lagi asing untuk membuat pelbagai persediaan sebelum ke angkasa lepas. Saya berasa sungguh patriotik dan bersemangat untuk menonjolkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Detik mengibarkan Jalur Gemilang di angkasa lepas ditontoni jutaan manusia di seluruh pelusuk dunia membuatkan saya sungguh terharu dan bangga menjadi anak Malaysia. Saya yakin suasana dan emosi ini juga dapat dirasakan oleh setiap rakyat Malaysia yang menonton secara langsung selama 12 hari di angkasa lepas. Angkasa lepas mengubah persepsi diri untuk menjadi lebih prihatin terhadap isu global dan inilah yang dijanjikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kemerdekaan buat diri ini, terutama pada era sains dan teknologi setelah 50 tahun merdeka adalah lebih kepada kebebasan minda, melahirkan lebih ramai modal insan yang kompetitif dan berilmu tinggi. Kita harus mempunyai fikiran terbuka, daya saing yang tinggi dan bukan setakat ‘jaguh kampung’, tetapi mampu bersaing dengan negara Barat. Oleh itu, bahasa Inggeris perlu diberi perhatian secara serius untuk bersaing dengan negara maju lain.

Ini tidak bermaksud kita bertolak ansur terhadap Bahasa Malaysia kerana bahasa ibunda tetap menjadi bahasa kehidupan seharian. Menyambut kemerdekaan seharusnya datang dari sanubari setiap individu yang begitu bersemangat dan berbangga menjadi anak Malaysia. Ia tidak seharusnya diraikan hanya pada 31 Ogos tetapi dipupuk sejak kecil. Saya masih ingat kenangan manis menyambut kemerdekaan ketika zaman sekolah apabila ibu akan memakaikan lencana bendera Malaysia pada baju sekolah dan diberikan Jalur Gemilang untuk dibawa ke sekolah. Di sekolah, aktiviti seperti perarakan untuk mengembalikan memori suasana kemerdekaan. Kawan-kawan dari pelbagai kaum, Melayu, Cina dan India akan berpegang tangan melaungkan nama Malaysia sekuat hati. Kesempatan belajar di India menyebabkan saya merasai pengalaman rakyat negara berkenaan menyambut kemerdekaan dengan perarakan seluruh negara serta mengibarkan bendera. Malaysia sebagai negara tercinta tidak kurang hebat. Negara berbilang kaum yang hidup dengan penuh harmoni dan bersatu-padu. Sikap perpaduan inilah yang harus dikekalkan untuk menjamin keutuhan bangsa agama dan negara. Sikap hormat menghormati ini harus dikekalkan di kalangan rakyat. Sempena bulan kemerdekaan ini, saya berharap agar setiap individu memainkan peranan bagi memastikan keharmonian negara. Kemerdekaan minda dalam mengangkasakan bangsa, agama dan negara harus diberi perhatian untuk menguasai ilmu sains dan teknologi supaya Malaysia mampu bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat global. Untukmu Malaysia - buat negara tercinta Selamat Menyambut Kemerdekaan yang ke 51 Wassalam Dr Sheikh Muszaphar

Maruah Jalur Gemilang

Bendera sebagai lambang sebuah negara, simbol aspirasi rakyat, warisan dan kewarganegaraan semua kaum di Malaysia MALAM 31 Ogos 1957, Padang Kelab Selangor bermandi cahaya dan lautan manusia. Rakyat pelbagai kaum, jauh dan dekat hadir dengan satu matlamat; ingin meraikan detik pembebasan negara dari belenggu penjajahan Inggeris. Perbezaan agama dan budaya ditolak tepi, jurang sosial dan komunikasi dilupakan, fahaman politik dipinggirkan malah beza warna kulit tidak langsung diambil peduli.

Tepat jam 12.01 malam, padang di kelab berprestij itu bergema dengan laungan ‘Merdeka!’ seiring upacara menaikkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Detik itu juga, lagu Negaraku diperdengarkan kepada umum. Selama berkurun di bawah perintah asing, malam itu, bendera Union Jack ‘turun takhta’. Bendera meskipun ditakrifkan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan, juga dikenali panji dan obor namun malam itu darjatnya besar. Ia dilihat simbol aspirasi rakyat yang menginginkan kehidupan aman, makmur, maju dan bersatu padu. Meskipun, sejak merdeka, ada kesungguhan menyatupadukan rakyat melalui bendera, kini, kredibilitinya bagai dicabar apabila berlaku satu demi satu insiden memalukan membabitkannya.

Peristiwa membakar Jalur Gemilang dalam satu rusuhan di Jalan Sultan Mahmud, Terengganu pada 8 September 2007 masih basah dalam ingatan. Belum pun mencecah setahun, kini ada ura-ura menyambut kemerdekaan dengan mengibarkan bendera secara terbalik oleh penulis blog. Perlakuan ini disifatkan Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah merangkap Penyelaras Rancangan Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr Arba’iyah Mohd Nor sebagai perpaduan membawa rebah. Menyebut berpunca perasaan hormat yang kian pudar, Arba’iyah menasihatkan masyarakat lebih rasional dalam membezakan pemimpin yang menerajui kerajaan dengan bendera lambang negara. “Pemimpin adalah mereka yang mentadbir negara melalui undian suara majoriti. Mereka datang dan pergi bila tiba masanya. Sementara, bendera mewakili negara bukan individu atau parti kerajaan. Ia simbol martabat, warisan dan kewarganegaraan semua kaum di Malaysia. Kedudukannya setaraf dengan Perlembagaan,” katanya.

Justeru, perbuatan membakar bendera bukan saja diibaratkan membakar hangus negara tetapi memijak lumat martabat dan maruah diri. “Bayangkan pula panji kebesaran kita ini dimusnahkan negara luar? Sudah tentu kita rasa tercabar. Jadi, jangan kerana marahkan pihak tertentu, bendera menjadi korban. Seharusnya, kita tanpa mengira kaum mempertahankan kedaulatan bendera dari dicalar dan dicemari, sebagaimana kita berjuang menentang musuh di medan pertempuran,” ujarnya. Jalur Gemilang yang suatu ketika dulu dipanggil bendera saja diilhamkan penciptanya dengan jiwa. Maka, setiap lambang dan warnanya menonjolkan maksud tertentu. Yang pasti, bahagian berwarna biru tua yang bermaksud perpaduan membawa pengertian paling mendalam kerana mewakili seluruh warga negara. Apabila masyarakat saling bersatu, kejayaan pasti menyusul seperti dibuktikan melalui pembinaan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pencakar langit diiktiraf antara tertinggi di dunia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); lapangan terbang menawarkan perkhidmatan bertaraf antarabangsa, Litar Sepang yang dikunjungi ribuan orang saban kali Formula 1 berlangsung, Putrajaya; kompleks pentadbiran kerajaan dan destinasi pelancongan selanjutnya penubuhan Petronas, Proton, Khazanah Nasional Berhad dan sebagainya. Arba’iyah berkata, semangat ‘biru tua’ harus dibawa ke mana saja kaki melangkah serta meliputi pelbagai aspek. Sukan antara kegiatan paling mengalu-alukan pembabitan bendera. Di sini bendera berperanan sebagai medium perpaduan dan penghormatan sekali gus. “Sokongan terhadap atlit negara di temasya sukan antarabangsa diterjemahkan menerusi bendera yang dijulang dan dikibarkan. Ia menjadi senjata utama membangkitkan semangat juang. Penghormatan terhadap negara yang memenangi sesuatu kejohanan ditunjukkan dengan menaikkan bendera negara berkenaan bersama lagu kebangsaannya,”katanya. Sementara, dalam peperangan, bendera dijadikan sumber kekuatan dan perpaduan tentera. Panji yang dibawa sewaktu bertempur selain menyemarakkan semangat patriotisme juga berfungsi membezakan pasukan sendiri dan musuh ditentang. “Bercakap mengenai patriotisme langsung saya teringat isu pembakaran bendera. Bagi saya, bukan semua bersetuju dengan perbuatan itu tetapi bagi yang sayang dan hormatkan benderanya tentu marah serta kecewa. Dinilai dalam implikasi lebih besar, perlakuan ini mengundang rasa tidak hormat pihak luar terhadap negara kita yang akhirnya membuka peluang penjajahan semula. Sikap tidak baik ini perlu dikikis segera bagi mengelakkan campur tangan asing,” katanya. Arba’iyah berkata, perlu ada langkah memupuk perasaan sayang dan hormat terhadap simbol kebanggaan negara ini. Langkah awal seharusnya bermula dari rumah membabitkan ibu bapa. “Ibu bapa memikul tanggungjawab menyemai rasa kasih terhadap bendera, memperkenalkan selanjutnya menerangkan fungsinya kepada anak-anak. Keprihatinan ditunjukkan dengan cara mengibarkan bendera di rumah terutama menjelang Bulan Kemerdekaan. “Sekurang-kurangnya anak-anak sedia mengenali fungsi dan kepentingan bendera sebelum memasuki alam persekolahan. Rasa hormat menerbitkan sayang dan cinta kepada negara,” katanya yang turut mencadangkan sukatan pelajaran pendidikan moral dan kewarganegaraan diselitkan pengetahuan mengenai Jalur Gemilang. Ilmu diterapkan perlu mengambil kira etika dan tatacara memelihara bendera negara meliputi cara mengibar, melipat dan menyimpannya. Dalam pada itu, pengibaran bendera dibudayakan kerana dari sini jati diri, hormat dan kasih dapat diwujudkan. “Budaya ini saya lihat belum menular dalam jiwa masyarakat. Saya pernah ke Turki ketika musim Piala Dunia lalu dan kagum dengan kecintaan mereka terhadap bendera. “Penghormatan ditunjukkan dengan cara menggantung dan mengibar negara di segenap ceruk dan tempat, bukan saja di premis perniagaan bahkan di pintu masuk negara, berderetan di tiang lampu, papan iklan dan sebagainya. Tidak payah tunggu Hari Kemerdekaan, bila-bila masa pun semangat ingin menonjolkan bendera perlu ada,” katanya. Beliau berkata, pengisian kemerdekaan bukan sekadar menggantung bendera dan mengibarkannya sewaktu perbarisan tetapi dizahirkan melalui penganjuran program berbentuk pertandingan melukis bertemakan Jalur Gemilang, kuiz, syarahan, pidato, perbahasan dan sebagainya.

Sejarah Jalur Gemilang

JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan. Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang. Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.

Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya. Jalur Gemilang dalam catatan sejarah
1. Pada 1999, Azhar Mansur, rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo membawa Jalur Gemilang merentasi Cape Leeuwin di Australia, South Cape di New Zealand, Cape Horn di Amerika Selatan, Kepulauan Fernando de Noronha di Lautan Atlantik dan Cape of Good Hope di Afrika Selatan.
2. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Projek Malaysia-Everest 97, M Magendran dan N Mohandas berjaya memacakkan bendera di puncak Everest setinggi 8,848 meter diseliputi salji selepas kira-kira dua bulan mendaki.

3. Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, membawa bendera Malaysia ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama 11 hari mulai 10 Oktober 2007.
4. Pemain badminton negara, Lee Chong Wei berjaya memenangi pingat perak pada temasya Olimpik Beijing 2008. Beliau sebelum ini pernah memenangi emas pada Sukan Komanwel 2006. Fakta Jalur Gemilang

· Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995.
· Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.
· Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996.
· 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
· Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
· Maksud lambang dan warna; - Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini. - Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara. - Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan, biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.

Gagasan PM ceriakan alam sekitar

PEPATAH Melayu menyebut bersatu teguh, bercerai roboh. Demikian kepentingan perpaduan dalam sesebuah keluarga, masyarakat, organisasi dan sesebuah negara. Tanpa perpaduan sekurang-kurangnya dari segi aspirasi dan wawasan, maka kita tidak dapat bersaing, apatah lagi mengangkasa bangsa Malaysia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju. Itulah barangkali latar suasana sehingga menyebabkan Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan slogan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ pada hari pelantikannya sebagai Perdana Menteri enam minggu lalu. ‘1Malaysia’ nampaknya sudah dikembangkan bukan sekadar slogan, malah menjadi gagasan mengenai perpaduan negara. Dalam konteks Malaysia, isu perpaduan menjadi semakin rencam dan rumit disebabkan kepelbagaian kumpulan etnik dan agama. Kata perbidalan, banyak orang banyak ragam. Mahu tidak mahu, keragaman itu perlu dikembangkan secara positif dalam segala bidang sebagai suatu kepelbagaian yang mewarnakan pencapaian, bukan pertelingkahan apatah lagi permusuhan.

Dalam bidang pelestarian alam sekitar misalnya, gagasan 1Malaysia juga perlu dibina dan dihayati. Pada hemat saya, kesedaran dan komitmen untuk sama-sama berganding bahu melestarikan alam sekitar adalah satu aspirasi besar. Ketika ini aspirasi itu sudah bermula walaupun masih banyak ruang dipertingkatkan. Dalam ruang pojok ini, saya sering menulis bahawa tahap kesedaran dan komitmen rakyat Malaysia memang sudah menyerlah tetapi perlu lebih menyeluruh ke tahap lebih tinggi. Buktinya, berdasarkan Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) pada 2008, Malaysia berada pada kedudukan ke-26. Kedudukan itu lebih baik berbanding banyak negara maju seperti Amerika Syarikat, Belanda dan Australia disebabkan komitmen secara keseluruhan warga Malaysia khususnya dalam bidang keseimbangan ekosistem. Hal sama juga ditunjukkan dari segi tapak ekologi global dengan 2.2 gha per kapita walaupun nilai itu lebih tinggi berbanding tapak ekologi lestari global pada tahap 1.9 gha per kapita (Global Fooprint Network, 2006). Pencapaian itu bergantung kepada komitmen warga Malaysia secara menyeluruh kepada pelestarian sejagat dan serantau.

Inisiatif perseorangan tidak banyak memberi kesan kepada keseimbangan ekosistem, apatah lagi untuk menjayakan gagasan besar seperti mengurangkan pemanasan suhu bumi dan pencemaran air. Di sinilah peranan gagasan 1Malaysia diperlukan. Pada hemat saya, 1Malaysia tidak boleh dibahas dalam konteks gagasan politik semata-mata untuk bersatu hati membina negara dan ‘menyejukkan’ iklim politik tempatan. Malah, perlu juga diolah supaya turut berperanan menyejukkan iklim global dan menceriakan alam sekitar. Sehubungan itu, kita memerlukan sokongan dan komitmen setiap warga Malaysia untuk mengamalkan cara hidup lestari dalam setiap lapangan. Cara hidup lestari tidak akan terhasil jika minda tidak lestari. Minda lestari bermakna memahami dan berusaha untuk menghayati nilai murni dan abadi mengenai kepentingan alam sekitar dan makhluk ciptaan Allah SWT yang hidup (biotik) atau sebaliknya (abiotik). Nilai berkenaan akan menjadi asas pemikiran untuk beramal dan komited memberi sumbangan dalam semua sektor supaya kepentingan sejagat, negara dan masyarakat lebih diutamakan, khususnya berkaitan dengan keseimbangan ekosistem. Dalam sektor industri misalnya, 1Malaysia dihayati dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan proses penghasilan produk tidak mencemarkan alam sekitar yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan penduduk sekitar. Selain itu produk yang dihasilkan mestilah memenuhi ciri mesra alam supaya penggunaan sehinggalah pelupusannya tidak memudaratkan kesihatan awam.

Dari segi sosial, konsep 1Malaysia minda lestari boleh dihayati menerusi kerjasama penduduk setempat untuk bergotong-royong membersih kawasan supaya takungan air pembiakan nyamuk dimusnahkan, menanam pokok di sekitar kawasan perumahan, atau sekadar memastikan kawasan bersih tanpa sampah berserakan. Kerjasama ini nampak mudah dan santai tetapi besar kesan kepada keseimbangan ekosistem dan perpaduan masyarakat. Selain itu, rakyat didahulukan dalam inisiatif pelestarian alam sekitar. Ketika ini banyak inisiatif dilaksanakan tetapi perlu dipertingkatkan secara berterusan dari segi kesihatan dan keselamatan awam, dan keseimbangan ekosistem. Hal ini ketara dalam kes membabitkan kelulusan projek pembinaan di tanah tinggi berisiko tinggi, perumahan awam di kawasan berisiko banjir dan guna tanah di kawasan tadahan air. Selain itu, kepentingan rakyat juga perlu didahulukan dari segi rundingan tarif air dan tenaga elektrik yang mempunyai implikasi kepada penggunaan sumber asli yang juga perlu dilestarikan. Pada hemat saya, salah satu komitmen ‘rakyat didahulukan’ adalah dengan memperkenalkan cukai alam sekitar dalam pakej tarif air dan elektrik bagi memastikan tidak berlaku pembaziran dan penggunaan sumber asli dilestarikan membabitkan semua pihak, termasuk pengguna dan penyedia perkhidmatan. Sejak awal 1970-an, Malaysia adalah antara negara terawal melaksanakan pelbagai langkah perundangan untuk mengurus alam sekitar menerusi penggubalan pelbagai akta seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pindaan demi pindaan dilakukan secara berterusan untuk menangani perubahan dan perkembangan semasa, termasuk penggubalan Akta Perkhidmatan Pembetungan 1994 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Kepelbagaian akta itu menunjukkan komitmen kerajaan dan inisiatif berterusan untuk menghayati minda dan cara hidup lestari. Namun demikian, masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan, atau masih belum dilaksanakan dengan jayanya, seperti penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat. Dalam konteks ‘Pencapaian Diutamakan’, komitmen ini perlu diserlahkan dalam bentuk lebih sistematik dan terarah. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kerajaan segera melaksanakan penilaian prestasi berasaskan EPI (environmental performance index atau indeks prestasi alam sekitar) yang diterima pakai secara global dan diperkenalkan Universiti Colombia dan Universiti Yale di Amerika Syarikat. Sekadar makluman, UTM adalah universiti tempatan yang menjalin kerjasama dengan kedua-dua universiti ternama itu untuk memastikan EPI dapat dilaksana. Saya percaya gagasan 1Malaysia boleh dikembangkan bagi menjana dinamisme memantapkan lagi pelestarian alam sekitar untuk kepentingan rakyat menerusi EPI sebagai petunjuk pencapaian secara lebih menyeluruh. Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Guru pendukung aspirasi membentuk modal insan holistik

Pendidik bukan sekadar lahirkan pelajar cemerlang tetapi lebi utama membimbing generasi bersahsiah mulia SAMBUTAN Hari Guru 2009 amat dinantikan oleh kira-kira 350,000 pendidik di seluruh negara berikutan perubahan dalam kepemimpinan Kementerian Pelajaran baru-baru ini. Apakah akan berlaku sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara apabila kepemimpinannya bertukar tangan. Ikuti wawancara wartawan Pendidikan, ZAINOR SAID, TAMRIN ANUAR dan NORLIZA ABDULLAH bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru yang disambut hari ini. Apa relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Pembina Negara Bangsa' dengan peranan pendidik dalam membina perpaduan dan meningkatkan kecemerlangan? Tema Hari Guru tahun ini mengingatkan kita peri pentingnya peranan guru dalam membentuk negara bangsa. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah membentuk bangsa yang bersatu padu dan bangsa yang mampu memahami aspirasi negara seterusnya membawa Malaysia ke mercu lebih gemilang pada masa depan. Kita melihat pentingnya guru dalam membentuk generasi lebih seimbang. Dalam hal ini, kerajaan menekankan aspek kualiti untuk meningkatkan mutu pendidikan dan aspirasi lebih cemerlang dalam kerjaya mereka. Masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Sempena Hari Guru tahun ini, kami pada peringkat kementerian memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru agar lebih kreatif dan inovatif di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas. Guru juga bertanggungjawab membimbing anak kita untuk terus menjadi manusia sempurna, insan kamil yang sekali gus dapat mewarisi usaha membangunkan negara.

Adakah tema itu bertepatan dengan hasrat mewujudkan 1Malaysia seperti diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak? Semestinya ia selari dengan hasrat itu dengan rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan. Matlamat itu mahu melihat Malaysia memegang satu wadah walaupun berada dalam masyarakat berbilang kaum. Kepelbagaian kaum dan keturunan di negara ini membentuk keistimewaan tersendiri selain bersatu padu dan mempunyai impian sama dalam memajukan negara. Menerusi sistem pendidikan negara, antara matlamat utama ialah membentuk rumpun bangsa. Kepelbagaian bangsa dan bahasa itu bukan satu kekangan, sebaliknya kekuatan dan tambah nilai dalam membentuk satu bangsa yang kuat. Pembentukan perpaduan serta toleransi bermula pada peringkat sekolah. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan di kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah akan terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk. Apakah cabaran utama guru masa kini dalam melaksanakan tanggungjawab untuk melahirkan modal insan holistik?

Tidak dinafikan perkembangan semasa turut memberi kesan kepada proses pembentukan sahsiah terutama di kalangan anak muda. Namun, apa yang penting ialah perkembangan bidang pendidikan perlu diambil kira supaya seiring dengan apa yang berlaku di negara maju. Penekanan perlu diberikan kepada pembangunan secara menyeluruh (holistik). Dalam mencapai sasaran itu, kita harus melihat pelbagai aspek termasuk mengambil kira soal kebajikan guru, antaranya kekurangan guru. Kementerian sedang berusaha mengurangkan nisbah guru dan bilik darjah daripada 1:7 kepada 1:5. Selain itu, usaha meningkatkan pendidikan negara dengan memberi penekanan terhadap perkembangan aspek perisian iaitu meningkatkan kecemerlangan ilmu, inovasi dan kreativiti dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P). Penambah-baikan akan dilaksanakan terhadap kurikulum dan kokurikulum di sekolah dalam melahirkan generasi seimbang dari segi perkembangan rohani dan jasmani. Mengupas isu meningkatkan infrastruktur pendidikan, ia tidak terhad kepada kemudahan luaran seperti membina lebih banyak sekolah tetapi kerajaan perlu melengkapkan guru dengan pelbagai kemahiran. Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran memberi tekanan dan menjejas tumpuan mereka terhadap tanggungjawab hakiki sebagai pendidik. Apakah usaha kementerian untuk menanganinya? Itu antara isu yang dikenal pasti kerana institusi pendidikan sendiri begitu kompleks. Guru bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar semata-mata malah pada masa sama, mereka juga bertugas sebagai pegawai disiplin, pegawai kebajikan dan penyelaras kokurikulum. Setiap kali kerajaan melaksanakan dasar baru, guru perlu melaksanakannya. Pelaksanaan itu termasuk menyediakan laporan dan proses penyediaan itu menambah tugas sedia ada.
Kajian awal mengenai bebanan tugas guru menunjukkan pada 2005, lebih 16,000 guru dari 400 sekolah mendapati tugas dan tanggungjawab mereka meningkat berbanding 20 tahun lalu. Peningkatan itu adalah kesan penggubalan dasar, perubahan sistem dan bertambahnya jumlah mata pelajaran. Antara pendekatan yang dapat dilaksanakan kementerian dalam menangani masalah ini ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah. Beberapa usaha dilaksanakan dengan mewujudkan jawatan kumpulan sokongan bagi membantu guru melaksanakan kerja pentadbiran, antaranya jawatan pembantu tadbir, pembantu makmal sains dan juruteknik di Pusat Kegiatan Guru. Selain itu juga, kementerian mewujudkan jawatan pembantu pengurus murid gred N17 di Kelas Pendidikan Khas dan murid prasekolah normal.

Sempena sambutan Hari Guru pertama sejak Tan Sri menerajui Kementerian Pelajaran, apakah insentif baru yang bakal diumumkan? Setakat ini ia masih rahsia. Bagaimanapun ada beberapa perkara menarik bakal diumumkan sebagai usaha menyuntik semangat serta kesungguhan guru dalam mendidik anak bangsa, sekali gus meningkatkan martabat profesion keguruan agar terus disanjung. Ia juga mengambil kira pelbagai usaha lain, antaranya menyeimbangkan nisbah guru lelaki dan perempuan dalam kerjaya guru di negara ini. Setakat ini nisbah guru lelaki dan perempuan adalah sekitar 80:20 dan kita harus merapatkan jurang supaya tidak begitu ketara. Bagi menyeimbangkan peratusan itu, kementerian sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk menanganinya termasuk menyediakan insentif tambahan kepada golongan lelaki yang menyertai profesion ini. Langkah kerajaan bukan bertujuan memperkecilkan usaha wanita atas sumbangan mereka selama ini, namun perlu ada keseimbangan yang sesuai di antara guru lelaki dan perempuan.
Bagaimana Tan Sri melihat soal disiplin pelajar sekarang, apakah ia sudah sampai ke tahap membimbangkan? Isu disiplin pelajar itu sendiri antara perkara besar yang harus ditangani segera. Setakat ini kita mempunyai hampir enam juta pelajar dan jika satu atau dua peratus daripada mereka terbabit dengan kegiatan tidak diingini pastinya ia memberi kesan kepada institusi pendidikan itu sendiri. Ia memerlukan perhatian serius. Dalam membentuk generasi ini, ia bukan tugas satu pihak semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti kelemahan dan mengawasi anak masing-masing supaya pergerakan mereka dikawal. Begitu juga dengan peranan masyarakat yang harus memainkan peranan memastikan institusi masyarakat itu sempurna dan dilengkapi dengan pengisian rohani membentuk sahsiah.
Usaha itu menuntut kepada kerjasama serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan semua pihak supaya setiap perlakuan sumbang dan salah laku anak-anak dapat ditegur dan diperbetulkan dari awal. Apakah kementerian serius mahu melaksanakan kembali hukuman rotan terhadap pelajar? Hal ini perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan tata cara betul mengikut prosedur. Jika diteliti, hal ini tidak sepatutnya menjadi isu besar, bagaimanapun pelaksanaan perlu berlandaskan kepada garis panduan khas. Ini perlu dibincangkan bagi mendapat persetujuan daripada banyak pihak antaranya persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Persetujuan itu penting kerana saya tidak mahu ada guru yang dihadapkan ke mahkamah gara-gara bertindak luar batas sedangkan pada awalnya niat mereka ikhlas untuk mengajar. Pendekatan mendisiplinkan pelajar kini lebih kepada kasih sayang dan berdiplomasi. Mungkin sesetengah ibu bapa tidak memberikan kasih sayang sewajarnya kepada anak masing-masing.
Bagi menanganinya, semua pihak perlu melihat kepada falsafah pendidikan negara iaitu bukan hanya melahirkan pelajar yang cemerlang semata-mata kerana apa yang lebih penting ialah melahirkan generasi memiliki sahsiah mulia. Apa komen Tan Sri terhadap dakwaan berleluasanya isu mat rempit mencerminkan sistem pendidikan kita gagal membentuk generasi berakhlak mulia? Sebelum itu kita perlu lihat berapa ramai yang terbabit dengan gejala ini. Tidak dinafikan aktiviti negatif turut membabitkan masalah sosial lain seperti bohsia. Bagaimanapun ia perlu dilihat secara menyeluruh. Ia membabitkan pengawasan semua pihak termasuk faktor persekitaran yang menyebabkan berlaku kejadian sedemikian. Pendekatan menyeluruh diperlukan bagi menangani masalah ini kerana ia membabitkan banyak institusi iaitu keluarga, ibu bapa, pihak penguatkuasaan seperti polis serta pihak berkuasa tempatan selain anggota masyarakat seperti jiran dan pemimpin penduduk. Faktor persekitaran seperti kediaman tidak selesa dan sempit di bandar turut mendorong anak muda keluar selain kedangkalan minda mengenai kesan negatif tindakan mereka menyebabkan mereka mudah terpengaruh dalam gejala tidak sihat. Bagaimana dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adakah dasar ini akan diteruskan? PPSMI masih dalam perbincangan.
Sebelum sebarang keputusan dilaksanakan, ia akan diteliti dan diperhalusi kesannya kepada proses pembelajaran masa kini. Walaupun sudah tujuh perbincangan meja bulat dilaksanakan namun saya masih belum puas hati mengenai hasilnya. Walau apa pun keputusan yang bakal dibuat, sama ada diteruskan atau diganti dengan dasar lain, perkara yang lebih utama adalah mengenal pasti keupayaan kita mengenai penguasaan bahasa itu sendiri. Yang penting memperhalusi pelaksanaannya supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak. Kepentingan anak bangsa harus diutamakan kerana masing-masing berdepan cabaran lebih besar bagi memenuhi pasaran kerja tempatan dan antarabangsa. Kementerian mengharapkan kajian menyeluruh dan berdasarkan fakta konkrit. Adakah ia benar-benar meningkatkan kefahaman murid dalam menguasai sesuatu mata pelajaran atau apakah penggunaan bahasa itu menyukarkan mereka menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik seperti yang didakwa. Adakah kita mempunyai pilihan lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi pada masa sama, memudahkan murid memahami mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa kebangsaan. Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mengekal atau meminda dasar sedia ada. Setakat ini bagaimana perkembangan pengstrukturan semula dasar pendidikan negara daripada sistem berasaskan peperiksaan kepada penilaian berasaskan sekolah? Sistem penilaian berasaskan sekolah akan dilaksanakan mulai tahun depan. Ia lebih kepada kaedah pendidikan seimbang dengan mengambil kira usaha membimbing secara menyeluruh. Kita tidak menyatakan kecemerlangan akademik itu tidak penting, sebaliknya apa yang ditekankan di sini ialah usaha melahirkan pelajar pintar, cerdik dan berkemahiran. Kami mengharapkan menerusi sistem ini, ibu bapa dan guru tidak hanya ghairah mengharapkan kecemerlangan akademik daripada pelajar, sebaliknya mereka perlu lebih rasional dalam menilai kecemerlangan setiap individu dalam pelbagai aspek. Mereka perlu cemerlang dalam akademik dan pada masa sama mempunyai kemahiran lain untuk meneruskan kelangsungan hidup yang membolehkan mereka membuat keputusan secara rasional berdasarkan kepada keadaan dan cabaran semasa.

Umno terus kekal sebagai teras kestabilan


KINI Umno sudah melepasi usia 63 tahun. Satu usia yang dilihat begitu matang dan melepasi 'jubli intan' kepelbagaian ranjau pengalaman yang pastinya memberikan parti tertua umat Melayu di tanah air ini pengajaran berguna dalam meneruskan perjuangan yang masih relevan ke arah membina dan menyumbang jasa demi pembangunan dan kestabilan negara. Ingatan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kepada ahli parti itu bahawa Umno tidak harus hanya bernostalgia dengan jasa dan bakti jelas memaparkan kekecewaan Perdana Menteri yang generasi kini sudah tidak pandai 'berterima kasih.' Hakikat bahawa perlunya warga negara ini, terutama umat Melayu yang berjumlah 13 juta itu diajar mensyukuri dan berterima kasih akan perjuangan Umno adalah penting dijanakan. Adakah kini rakyat sudah tidak pandai 'berterima kasih'? dan diajarkan pula untuk tidak berterima kasih?

Untuk itu, Umno dan Barisan Nasional (BN) sangat perlu 'mega hiper aktif' untuk mendekati rakyat dan menerangkan kepada mereka situasi sebenar kerajaan dan parti. Pasca pilihan raya umum Mac tahun lalu, bukan saja Umno, malah komponen BN dilihat berdepan dengan satu senario baru yang pasti memberi petunjuk jelas wujud satu 'rasa tidak senang' rakyat terhadap kepemimpinan Umno dan juga komponen parti dalam BN itu sendiri. Kemerosotan prestasi ini bukan semata-mata kegagalan Umno. Yang jelas, dalam situasi politik semasa, Umno berjaya mengekalkan kerusi yang signifikan di badan legislatif, sama ada di peringkat negeri mahupun di Dewan Rakyat.

Sebagai contoh, di Perak, daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN, 27 adalah disumbangkan Umno. Di Pulau Pinang pula, BN berjaya mengekalkan 11 kerusi DUN – semuanya menerusi Umno, dan ini bermakna Umno adalah suara dominan yang mewakili BN di negeri terbabit. Situasi di Kedah juga menunjukkan daripada 14 kerusi DUN dimenangi BN, 12 disumbangkan Umno. Malah, baki dua lagi kerusi wakil komponen BN lainnya juga berjaya dimenangi di Derga dan Gurun, dikatakan kerana pengundi Melayu menerusi Umno yang tetap memberikan sokongan mereka kepada BN. Selangor juga berlaku hal sama, iaitu 20 kerusi DUN yang dimenangi BN, 18 daripadanya adalah kerana sokongan rakyat terhadap Umno, sementara MCA hanya berjaya kekal di dua kawasan DUN, dan empat dari lima kawasan Parlimen yang dimenangi BN Selangor juga adalah disumbangkan Umno. Ini menunjukkan dalam usia 63 tahun ini, Umno masih relevan, cuma satu keperluan baru menuntut Umno untuk menjadi lebih 'rakyat' dan bukannya elitis. Transformasi konsep dan perjuangan Umno dan juga BN perlu diselaraskan semula dengan situasi semasa.

Kemerosotan prestasi secara mendadak komponen BN lainnya menyebabkan Umno turut sama mengalami gugatan hinggakan berlaku banyak tuntutan tidak berasas oleh pelbagai pihak sama ada dari dalam parti mahupun luar untuk melihat bukan saja Umno itu di 'awetmudakan', bahkan BN itu sendiri perlu ditransformasikan bagi membina 'neo-BN.' Sikap menuduh Umno dengan pelbagai tuduhan sehingga melupakan 'kesalahan' dan pengabaian komponen lainnya di dalam gabungan kerajaan masa kini perlu diubah. Kemerosotan prestasi BN pada pilihan raya umum lalu bukan hanya perlu dipersalahkan kepada Umno, tetapi jauh daripada itu, parti komponen BN lainnya, terutama MCA, Gerakan, MIC serta PPP perlu sama bermuhasabah dan memperkukuhkan parti mereka di kalangan masyarakat bukan Melayu untuk menarik semula minat pengundi kepada BN. Membentuk pasukan yang 'membina' adalah lebih penting daripada membina pasukan 'menghina'. Pemimpin dan juga ahli serta pejuang Umno perlu berbangga dan sedar bahawa dengan pengaruh Umno yang berjaya dikekalkan, maka perjuangan Umno di hati masyarakat Melayu Islam di negara ini masih relevan dan mendapat tempat. Jika tidak kerana undi kaum bukan Melayu yang memihak kepada pembangkang, termasuk Pas tidak mungkin begitu banyak negeri dan kawasan Parlimen berjaya dikuasai pembangkang. Hujah ini membuktikan bahawa Umno masih lagi dianggap penting untuk perjuangan Melayu dan Islam di negara ini. Lihat saja peningkatan sokongan pengundi Melayu pada dua pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang nyata masih memilih BN kerana sokongan terhadap Umno.
Tidak dinafikan di sebalik sambutan usia Umno ke-63 kali ini, wujud dengan jelas kesedihan di kalangan pelbagai pihak, terutama pejuang Umno dan juga rakyat yang masih menjiwai pentingnya Umno demi kestabilan negara. Untuk itu, Umno perlu di 'neo-Umno'kan, di 'awetmudakan' serta dimantapkan tema serta hala tuju perjuangan Umno pada zaman baru. Janganlah pula pemimpin Umno dan BN masih berlagak sebagai 'kerajaan' sedangkan negeri pimpinan mereka sudah jatuh ke tangan yang dulunya pembangkang. Saidina Ali pernah menyebutkan bahawa 'kebatilan yang terancang mampu memusnahkan kebenaran yang tidak terancang.' Untuk itu, Umno yang sudah berjasa besar dalam membawa umat Melayu daripada sebuah bangsa yang dulunya menjadi hamba kepada penjajahan dan kini bebas serta merdeka dan kaum lain turut sama merasai nikmat, di sebalik perjuangan Umno perlu segera dibangkitkan semula. Perjuangan Umno perlu direvolusikan. Saranan Datuk Mukhriz Mahathir yang berpandangan bahawa pembaharuan strategi dalam menghadapi pilihan raya penting diamati. Revolusi secara mental, perancangan serta strategi baru harus mula disuntik kepada perjuangan Umno. Jika tidak, segala modus operandi gaya gerak Umno yang diciplak mentah-mentah oleh bekas pemimpinnya yang kini berada pada pihak pembangkang akan terus menyebabkan Umno tidak bebas daripada peniruan dan kebocoran segala 'rahsia' dan strateginya.
Umno perlu berubah wajah membina landasan berteraskan zaman serta bersifat futuristik dan tidak menjadi jumud serta feudalistik. Pendeta tersohor Melayu, Zainal Abidin Ahmad atau Za'aba pada 1923 dalam penulisannya di Malay Mail dan juga disiarkan al-Ikhwan menyatakan kemiskinan Melayu adalah kemiskinan kebendaan dan kerohanian, maka Umno perlu menggerakkan usaha bagi mendepani permasalahan 'kemiskinan' ini dengan segera. Bukan saja Umno menjadi penyalur kepada material semata-mata, tetapi Umno juga perlu menyemarakkan keunggulan perjuangan Melayu ini dengan menyuntik aspek kerohanian di kalangan pemimpin dan ahlinya. Imej Umno yang kini diperlihatkan sama ada benar atau tidak, namun, persepsi rakyat melihat bahawa Umno ini sebagai sebuah institusi politik kapitalis dan material perlu segera diperbetulkan. Jika imej 'Umno kapitalis' tidak segera diperbetulkan, maka ia akan merebakkan masalah dalaman yang semakin parah sehingga tidak mustahil negara akan mengalami ketidakstabilan serius sehingga bukan saja BN, malah pembangkang juga akan turut tergugat apabila negara menjadi anarki akibat tiada lagi kestabilan di dalam persekitaran geopolitik negara ini. Umno adalah teras kestabilan politik di negara ini perlu dijagai dan ditatang bagai minyak yang penuh. Jika tidak pastinya bangsa Melayu dan Islam akan berdepan dengan krisis identiti politik yang sukar dan parah. Penulis ialah pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Belia berwawasan bantu jayakan konsep 1Malaysia

BELIA adalah aset terpenting dalam sesebuah negara. Jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan, bergantung kepada peranan dimainkan golongan ini. Tentunya kita sudah biasa mendengar ungkapan itu. Justeru, sebagai menghargai sokongan serta sumbangan penting golongan ini kepada negara sejak lebih 51 tahun lalu, maka setiap tahun kerajaan meraikan mereka menerusi sambutan Hari dan Minggu Belia Negara yang tetapkan pada setiap 15 Mei, seperti pada hari ini. Tahun ini, sambutan perhimpunan berpusat di Melaka, negeri yang kaya dengan sejarah dan paling aktif dengan aktiviti belia. Sambutan awal program ini sebenarnya sudah dilancarkan di Stadium Utama Kangar pada 3 Mei lalu. Bagaimanapun sempena perhimpunan hari ini, acara di Melaka bermula sejak 13 Mei lalu dan berakhir Ahad ini.

Sambutan yang dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka itu, menyaksikan penganjuran pelbagai acara menarik. Antaranya Karnival Remaja, Festival Rekreasi dan Sukan Belia Kebangsaan serta Konvensyen Belia Kebangsaan. Kemuncak sambutan tentunya, perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh. Perhimpunan kali ini bertemakan `Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan'. Dianggarkan kira-kira 20,000 pemimpin dan wakil pelbagai pertubuhan belia dari seluruh negara hadir pada majlis ini. Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Perhimpunan Belia Sedunia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dijangka hadir.

Pada awalnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan dan sekali gus menyampaikan amanat penting pada majlis ini. Namun beliau terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) di Menado, Sulawesi Utara, Indonesia. Tahun lalu, perhimpunan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil yang dihadiri kira-kira 15,000 pemimpin dan wakil belia, mewakili pelbagai pertubuhan atau persatuan dari seluruh negara. Perasmian program bertemakan `Belia Cemerlang, Negara Terbilang' itu disempurnakan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sebagai imbasan, antara lain, dalam amanahnya yang terakhir sebagai Perdana Menteri, Abdullah mahu golongan belia di negara ini menanam sikap untuk sentiasa maju, hebat dan bersemangat tinggi agar dapat mencapai kejayaan dalam setiap bidang diceburi. “Dengan sikap untuk sentiasa maju dan disertakan dengan ilmu atau kemahiran, belia akan mampu menghadapi saingan yang semakin mencabar. Kita tidak mahu belia tidak bekerja atau terbabit dalam kerja tidak berfaedah... kita mahu tenaga muda ini diperkasakan dan sama-sama membangunkan negara,” katanya.

Perhimpunan secara besar-besaran di Ballroom MITC, Melaka pada petang ini sememangnya sangat dinantikan pelbagai pihak, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli belia sama ada di peringkat pusat, negeri atau daerah yang berkumpul di negeri kelahiran Hang Tuah itu sejak beberapa hari lalu. Sejak mengambil alih kepemimpinan negara pada awal April lalu, tidak banyak diketahui mengenai hala tuju belia negara berlandaskan konsep ‘1Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri. Malah pada peringkat kementerian sendiri, dikatakan belum ada pendekatan paling tepat mengenainya. Apa lagi dengan pelbagai kes membabitkan golongan belia hari ini yang agak membimbangkan. Misalnya, terbaru, seramai 500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan di Dataran Merdeka dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas. Itu tidak termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah, ragut, pecah rumah, curi kenderaan, gangsterisme, seks rambang atau sumbang mahram termasuk membabitkan remaja di peringkat sekolah yang kebelakangan ini banyak disiarkan media. Kes sebegini tentunya amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia. Ahmad Shabery sebelum ini ada menyentuh konsep 1Malaysia ketika mewakili Timbalan Perdana Menteri melancarkan sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2009 di Kangar. Selepas majlis itu, beliau mengumumkan mengenai konsep ‘Satu Belia’.
Antara lain, beliau berkata, kejayaan konsep 1Malaysia sukar untuk dijayakan jika belia yang kini berjumlah kira-kira 12 juta, tidak bersatu. Bagi menjayakan konsep 1Malaysia, katanya, cara berfikir golongan muda juga perlu ditukar dan ia sepatutnya dimulakan pada peringkat sekolah rendah lagi. “Belia seharusnya bersatu dan berfikir sebagai satu. Mereka mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pelapis kepemimpinan negara pada masa depan. Kita patut mengajar mereka supaya menjadi warganegara yang mencintai dan mengasihi negara sebab mereka adalah mewakili masa depan. “Sebab itu, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan akan menjadi realiti, malah mampu dicapai dengan cepat jika belia bersatu,” katanya. Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui pada satu majlis di Melaka baru-baru ini berkata, amanat yang bakal disampaikan Muhyiddin pada petang ini sangat penting terutama kepada belia, bagi memahami apa yang ingin dibawakan pucuk pimpinan menerusi konsep 1Malaysia. Katanya, ini adalah amanat sulung pucuk pimpinan negara kepada belia dalam satu acara yang menghimpunkan semua pemimpin belia, sejak kepemimpinan baru mengambil alih. “Sebab itu, saya berharap, perhimpunan ini bakal menjadi titik pertemuan kepada seluruh kepemimpinan belia seluruh negara untuk memahami konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.
Amanat ini penting untuk mengajak belia bergerak atas satu nada dan lebih penting, atas satu pemahaman. “Selepas daripada itu, apabila mereka kembali ke tempat atau kawasan masing-masing, pemimpin atau wakil belia yang hadir ini akan membawa satu suara yang sama dan bukan lagi atas andaian serta pemahaman berbeza-beza. Belia perlu sepakat mencari jalan untuk sama-sama menjayakan konsep 1Malaysia ini,” katanya. Setiausaha Agung Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Nizam Omar berkata, pertubuhan itu sememangnya menantikan amanat yang bakal disampaikan Timbalan Perdana Menteri terutama berkaitan konsep 1Malaysia. “Kita berharap akan ada satu perkhabaran gembira disampaikan dalam amanat Timbalan Perdana Menteri nanti, sama ada untuk belia di kampung atau di bandar,” katanya.

Generasi muda beriman perkukuh perjuangan Islam


umbangan belia bertakwa penting bantu kejayaan, pencapaian ummah sepanjang zamanGENERASI muda, remaja atau belia ialah kelompok yang aktif dalam semua perkara. Mereka suka bertanya, mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, sukakan cabaran, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta. Inilah perkembangan naluri dan fitrah generasi muda dalam proses membentuk diri menuju kematangan dan masuk ke alam dewasa. Sebagai pemuda Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan.

Potensi yang dimiliki boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara, tetapi ia juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan negara. Isu utama ialah bagaimana potensi itu digilap dan disuburkan secara fitrah serta bakat diguna secara bermanfaat. Islam meletakkan generasi muda pada kedudukan mulia dan hal ini berbeza berbanding pada zaman sebelum kedatangan Islam. Jika dalam masyarakat Arab jahiliah, bangsawan Quraisy membentuk belia mereka dengan latar belakang kemewahan dan hidup berfoya-foya, tetapi sejurus selepas terpancar nur Ilahi ke dalam masyarakat Arab, acuan itu mula dicorakkan kepada konteks lebih luas, global, punya nilai dan beradab. Corak remaja atau belia pada zaman itu terbentuk melalui kesan tarbiah rohaniah dan jasmaniah yang dipimpin melalui pendekatan wahyu iaitu melalui cara hidup Islam. Budaya atau cara hidup bersandarkan reda Allah wujud pada diri pemuda ketika itu.

Ini menyebabkan mereka tidak saja memiliki pedoman dan dorongan terbaik untuk memandu jalan hidup, tetapi budaya reda Allah itu membentuk kedewasaan remaja yang akhirnya menjadikan mereka taat serta patuh terhadap perintah Allah dan sentiasa mengelak melakukan apa dilarang. Al-Quran dan al-sunnah sarat dengan contoh generasi pemuda yang diiktiraf berjaya di sisi Allah. Kisah anak muda dalam surah al-Kahfi ialah pengiktirafan yang dinyatakan secara jelas oleh Allah kerana mereka beriman dan mempertahankan sifat takwa walaupun berdepan pemerintah zalim. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah kepada mereka petunjuk." (Surah al-Kahfi: 13) Allah juga memasukkan belia dan remaja yang menghabiskan masa mengabdikan diri kepada Allah dalam kegiatan hidupnya sebagai manusia yang dimasukkan ke dalam golongan mendapat perlindungan lembayung payung Allah di Padang Mahsyar kelak. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tujuh golongan manusia yang akan dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya, pemuda yang hidup dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pemuda memiliki beberapa kelebihan berbanding orang tua untuk menunaikan tanggungjawab agama sama ada melaksanakan perintah atau menjauhkan larangan antaranya mempunyai banyak masa lapang, belum sibuk dengan kerja lain, mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal, mempunyai kecerdasan akal fikiran, mempunyai daya ingatan yang kuat, jarang ditimpa penyakit dan mudah mendapat pertolongan serta memberi bantuan kepada orang lain. Pada ketika mempunyai kelebihan dan keistimewaan inilah pemuda perlu merebut peluang menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati." Pemuda pada awal Islam menjadi tonggak dakwah dan ejen pembangunan dalam membina kekuatan. Nama seperti Mus'ab Umair, Usamah Zaid, Ali Abi Talib, dan Bilal Rabah, membuktikan kepada generasi berikutnya bahawa remaja tonggak kekuatan ummah pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Rasulullah SAW berpesan supaya ummah memberikan perhatian kepada mendidik dan menjaga belia dalam sabda Baginda bermaksud: "Aku berpesan kepada kamu supaya memberi perhatian kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka lembut. Allah mengutuskan aku membawa agama hanif lalu pemuda menyokong aku sedangkan orang tua menentang aku." Justeru, dalam beramal, pemuda dianjurkan sentiasa mengambil peluang melaksanakan ibadat tanpa perlu bertangguh kerana usaha meningkatkan takwa dalam hidup bukan bermusim. Firman Allah bermaksud: "Dan dirikan oleh kamu sembahyang dan tunaikan zakat, dan apa juga yang kamu dulukan daripada kebajikan untuk diri kamu, tentu kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah." (Surah al-Baqarah: 110) Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya daripada diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya." (Hadis riwayat at-Tirmizi) Rasulullah SAW juga pernah melahirkan perasaan takjubnya kepada pemuda yang sentiasa bersungguh-sungguh menjunjung nilai takwa dalam kehidupannya dan bukan bersikap seperti kebudak-budakan. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak memiliki sifat kebudak-budakan." Ketika hayatnya, Baginda SAW selalu berpesan kepada belia dan remaja supaya memperlihatkan sifat matang, sesuai dengan kekuatan fizikal sehingga dapat dibezakan dengan golongan tua. Lantaran itu, ketika usia Baginda menginjak ke angka 40, terjadi peristiwa kenabian pada waktu yang dianggap sempurnanya kematangan umur dewasa. Ketika itu, kebanyakan pendukung kuatnya ialah pemuda. Saidina Abu Bakar, tua tiga tahun daripada umur Baginda, Saidina Umar pula berusia 27 tahun ketika memeluk Islam, Saidina Othman lebih muda daripada Baginda dan Saidina Ali jauh lebih muda daripada sahabat lain. Begitu juga sahabat yang terkenal sebagai pendamping dakwah yang dibawa Baginda SAW seperti Abdullah Mas'ud, Said Zaid, Abdul Rahman Auf, Bilal dan Musab Umair yang berusia muda. Nama seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian, malah Abu Talib yang tidak menerima dakwah Baginda SAW ialah kalangan generasi tua. Harapan Islam kepada generasi muda, remaja atau belia amat tinggi, justeru pengiktirafan ini mesti dibuktikan melalui tindakan dan realiti, bukan sekadar retorik atau omong kosong. Benar dan tepat kecintaan Allah kepada mereka yang suka bersedekah, tetapi Allah lebih cinta generasi muda yang bersedekah, Allah juga mencintai mereka yang beramal, tetapi Allah lebih mencintai generasi muda beramal. Allah mengasihi orang beribadat, tetapi Allah lebih mengasihi pemuda yang beribadah. Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Jelebu, Negeri Sembilan

Modal insan pelengkap ekonomi baru berteras inovatif, kreativiti

PENSYARAH, penulis dan pakar perunding terkemuka dunia, Peter F Drucker pernah berkata: ‘Inovasi adalah elemen utama kepada usahawan. Dengan mengeksploitasi sesuatu yang berlainan dalam dunia perniagaan dan perkhidmatan mampu mengubah elemen itu. “Usahawan juga perlu melakukan kajian untuk mendapatkan sumber yang lebih inovasi dan mengaplikasikan ke arah mencipta serta meneroka kejayaan lebih cemerlang.” Ternyata berfikiran kreatif dan inovasi adalah ramuan terbaik untuk melakukan sebarang penciptaan dalam apa juga sistem kehidupan. Minda kreatif dan inovasi mampu memacu kedudukan tertinggi sosioekonomi sesuatu bangsa. Dalam misi Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020, semua sektor perlu menggarapkan nilai kreatif dan inovasi dalam budaya kehidupan mereka.

Dengan itu, langkah kerajaan memperkenalkan model baru berteraskan peningkatan inovasi dan produktiviti pekerja yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini, tepat pada masanya ke arah meletakkan kedudukan ekonomi daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada pendapatan tinggi. Model ekonomi baru yang memberi penekanan terhadap aspek inovasi dan produktiviti wajar dilaksanakan segera. Presiden Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (Macri), Datuk Ghazi Sheikh Ramli menganggap langkah kerajaan itu adalah sejajar dengan misi Macri sendiri yang kini begitu agresif mempromosi kreativiti dan inovasi sebagai jentera bagi menentukan kejayaan negara pada masa depan kepada semua lapisan masyarakat sejak penubuhannya pada April 2007 lalu.

Oleh itu, misi Najib untuk membentuk model baru ekonomi memberi ruang kepada transformasi berkesan dengan menambah nilai yang lebih tinggi menerusi kreativiti dan inovasi. Ekonomi baru ini mampu direalisasikan dengan menyatukan pengetahuan dengan modal insan. Apa yang perlu dilakukan, Ghazi berkata, keseluruhan sektor ekonomi termasuk di kalangan kerajaan, swasta, akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan bertindak untuk mewujudkan transformasi dengan meningkatkan nilai dalam sistem kehidupan mereka. “Sebagai contoh, syarikat multinasional yang besar dan berjaya, sebenarnya mempunyai budaya inovasi secara menyeluruh di dalam syarikatnya seperti dilakukan IBM, Google, Digi dan Philips. “Apa yang diperlukan dalam pasaran di Malaysia, syarikat tempatan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memberi penekanan terhadap inovasi dalam ekonomi baru dengan menjadikannya budaya dalam syarikat masing-masing. Apabila ini dapat diterapkan segala pelaksanaan program akan mencatat kecemerlangan,” katanya.

Kajian terhadap 25 syarikat inovatif dunia, mendapati Google sentiasa berada paling atas kerana menggarapkan kreativiti dan inovasi dalam setiap amalan syarikatnya. Syarikat Tata, dari India, umpamanya, sebelum ini tidak pernah termasuk dalam senarai 25 syarikat inovatif terkemuka dunia, tetapi tahun lalu nama negara itu melonjakkan ke tangga ke-6 selepas melakukan inovasi dalam penciptaan kereta cip terkecil di dunia, iaitu Nano yang hanya bernilai AS$2,500. “Sekiranya kita meluaskan minda dan berfikiran kreatif serta inovatif, apa juga yang dilakukan boleh ditambah nilai dan dikomersialkan. “Saya fikir strategi terbaik yang perlu dilakukan kerajaan untuk membangunkan ekonomi baru yang berasaskan kepada kreativiti dan inovasi bagi menambah nilai ialah dengan menekankan kepada modal insan,” katanya. Apa yang penting ialah memastikan seramai mungkin rakyat di negara ini memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan dengan kreativiti dan inovasi. Penubuhan Macri, katanya, sejajar dengan matlamat negara dan dengan keahlian 1,800 dari pelbagai kaum, iaitu 55 peratus kalangan dewasa dan 45 peratus di bawah usia 21 tahun serta penekanan kepada ‘memperkasakan idea yang mudah’ sebagai pemangkin generasi yang hebat pada masa depan. Rakyat, kata beliau, tidak seharusnya dangkal fikiran dengan hanya menganggap inovasi berasaskan kepada produk, sebaliknya perlu memperluaskan minda kepada aspek lain.
“Apabila bercakap mengenai kreatif dan inovasi, masih ramai yang salah anggap dan itu perlu dibetulkan. Ada yang menganggap kreativiti hanya dalam bidang muzik, teater, drama, filem dan penulisan, manakala inovasi hanya untuk pakar penyelidik serta saintis. Ini seolah-olah mereka saja yang kreatif. “Ada juga yang menyatakan inovasi hanya kepada produk. Semua tanggapan itu salah. Oleh itu, kita perlu nyatakan bahawa kreativiti dan inovasi boleh dilakukan oleh semua golongan dalam apa juga bidang. “Jika tidak didedahkan dengan perkara baru, selagi itu, kita tidak boleh menjadi seorang yang kreatif dan berinovasi. Kita mahu kedua-dua aspek ini tidak hanya sebagai retorik sebaliknya dilaksanakan kerana setiap manusia dilahirkan dengan akal fikiran dan ia perlu dipergunakan sebaik-baiknya,” katanya. Dalam keadaan ekonomi merudum juga dianggap masa yang sesuai negara bergerak pantas ke arah pembinaan kreatif dan inovasi dalam budaya kehidupan. Malaysia sudah bersedia ke arah itu kerana sudah didedahkan dengan aspek kreativiti dan inovasi jika dibandingkan dengan negara lain. Apa yang paling utama ialah bagaimana kita perlu melonjak lebih jauh ke arah itu dengan menggunakan model kreatif dan inovasi. Sudah pasti Wawasan 2020 bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan moto Cemerlang, Gemilang dan Terbilang oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini 1Malaysia oleh Najib adalah cantuman kesinambungan yang amat relevan pada masa ini dalam usaha mencapai sebuah negara maju.

Umno Sabah giat perjelas gagasan PM

KOTA KINABALU: Jentera Penerangan Umno Sabah akan mempergiat usaha memberi penjelasan kepada ahli parti dan anggota masyarakat mengenai konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak bagi memastikan mereka tidak dieksploitasi pembangkang.
Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Musa Aman, berkata penjelasan itu akan dilaksanakan melalui pelbagai kaedah dalam program rasmi atau sebaliknya kerana ia bakal menentukan kelangsungan perjuangan Umno pada masa depan.
Katanya, jentera berkenaan yang dipimpin Datuk Sapawi Ahmad akan turut memberi penjelasan mengenai pelbagai isu politik dan ekonomi semasa, sekali gus mengelak ahli Umno dan anggota masyarakat terpedaya dengan dakyah pembangkang.

"Jentera penerangan Umno di negeri ini sering diberi panduan bagi memastikan mereka menjalankan tugas dengan baik. Sapawi sudah merangka pelbagai program, khususnya pada peringkat akar umbi bagi memantapkan parti demi kebaikan rakyat.
"Beliau kerap mengadakan perjumpaan dengan Ketua Penerangan Umno bahagian. Umno Sabah akan menjemput Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan berjumpa dengan semua Ketua Penerangan Umno bahagian bagi meningkatkan fungsi mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perhubungan Umno negeri di Bangunan Umno, di sini malam kelmarin.

Kelmarin, Ahmad dilaporkan berkata, lebih 60,000 jentera penerangan Umno pada peringkat cawangan gagal berfungsi kerana tidak memahami tugas masing-masing.
Kegagalan memahami tugas menyebabkan mereka tidak aktif dalam memberi penjelasan mengenai isu semasa kepada rakyat.
Musa juga berkata, 425,094 ahli Umno dalam 5,240 Umno cawangan di negeri ini dibenarkan menghadiri mesyuarat cawangan mulai hari ini hingga 30 Jun ini.
Sehubungan itu, Perhubungan Umno negeri akan mempergiat usaha meningkatkan ahli parti bagi memperkukuh perjuangan parti dan Barisan Nasional, katanya.

Kebaya kekal identiti bangsa

Sentuhan moden yang dihasilkan masih mengekalkan ciri klasikMANISNYA berkebaya menyerlah santun dan gemalai pemakai. Menyelusur sejarah kebaya, sebenarnya berasal dari tanah Arab. Malah perkataan kebaya berasal daripada perkataan Arab, 'kaba' yang bermaksud pakaian. Sehinggalah kedatangan orang Portugis ke Tenggara Asia pada abad ke-15, olahan gaya dibuat bersama sejenis pakaian wanita Indonesia sehingga akhirnya menghasilkan kebaya.

Halusnya seni buatan kebaya Indonesia tidak kurang hebatnya dengan pelbagai jenis kebaya lain yang tersebar meluas hingga ke Melaka dan digelar kebaya nyonya. Di tanah Jawa sendiri, kebaya dianggap pakaian suci yang hanya boleh dikenakan oleh kerabat monarki Jawa ketika itu. Zaman British memerintah di Tanah Jawa, wanita Eropah turut menyarung kebaya yang diperbuat daripada fabrik mori disulam dengan sulaman sutera pelbagai warna sebagai pakaian rasmi. Kini, evolusi kebaya melalui pelbagai peralihan. Pemilik Prestige by Inar, Inar Suminarsih ditemui ketika Pameran Pengantin Malaysia 2008 di Mid Valley baru-baru ini berkata, peluang mengkomersialkan kebaya klasik Indonesia menjadi cabaran untuknya kerana lumrah dunia fesyen, setiap rekaan pasti melalui perubahan.

"Kebaya lambang identiti sesuatu bangsa. Saya akui, walaupun ada perubahan yang dibuat namun rekaan yang dihasilkan masih kekal dengan ciri klasik kebaya Indonesia. "Kini, saya bangga kerana rekaan kebaya Indonesia sangat digemari dan diterima di kalangan peminat fesyen negara luar terutama Malaysia," katanya yang mula membangunkan jenama Prestige by Inar untuk kebaya klasik Indonesia sejak 2000. Peralihan dan percubaan berani pereka fesyen Indonesia mempelbagaikan penggunaan fabrik bagi menghasilkan kebaya membuatkan keanggunan pakaian klasik tambah menyerlah. Prestige by Inar sendiri menggunakan fabrik renda sebagai bahan kebaya, dipadankan bersama batik, songket, kain tenun atau kain kembang sesuai acara dihadiri. "Sesuai dengan kehalusan rekaan dan kualiti fabrik, setiap kebaya yang ditawarkan di sini eksklusif dan boleh digayakan sama ada untuk majlis perkahwinan atau ke majlis formal.

"Melalui penghasilan rekaan yang lebih moden dan variasi, saya angankan suatu hari pakaian ini mampu dijadikan pakaian basahan di kalangan remaja juga wanita dewasa. Saya juga mahu mereka berasa bangga mengenakannya," katanya. Setiap rekaan kebaya Prestige by Inar boleh dimiliki dengan harga RM3,500 sehingga RM8,000 bergantung kepada rekaan. Untuk tempahan, kunjungi butik utamanya di Jl Ir H Juanda No 75 ii, Cireundeu, Jakarta Selatan atau layari www.prestigeinar.com untuk keterangan lanjut.
INFO: Kebaya
Wanita Indonesia dan Malaysia mula mengenakan kebaya yang diperbuat daripada bahan tipis dipadankan bersama sarung, batik atau songket bermotif warna warni sejak ratusan tahun dulu.
Di Pulau Jawa sekitar 1600, kebaya adalah pakaian rasmi keluarga kerajaan. Ketika itu, kebaya dihasilkan menggunakan kain tenunan mori dengan sulaman sutera berwarna-warni. Kebaya Nyonya pula dicipta Peranakan Cina dari Melaka. Mereka memakai kebaya bersama sarung dan kasut bersulam manik yang dipanggil 'kasut manek'.

Kini, kebaya klasik melalui pelbagai revolusi malah pereka fesyen membuat pengubahsuai terhadap rekaan dan penggunaan material supaya pemakaiannya seiring musim. Kini, pilihan kebaya Nyonya dan Indonesia boleh digayakan dengan jeans dan skirt.

Fikirkan kedudukan Melayu sewaktu gubal dasar negara

TULISAN Awang Selamat bertemakan "Jagalah Hati Melayu" dalam Mingguan Malaysia kelmarin sepatutnya direnung bukan sahaja oleh pemimpin UMNO tetapi seluruh pemimpin Barisan Nasional (BN).

Bagi Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM), tulisan itu merupakan satu anjuran yang berani dan ditunggu-tunggu oleh orang Melayu. Harapan kami terlalu menggunung agar pemimpin UMNO tidak melupakan saraf tunjang politik BN dan Malaysia iaitu kaum Melayu.

KPPM bersetuju bahawa kebimbangan Awang Selamat itu amat berasas. Pernah diberitakan pada suatu ketika, Allahyarham Tun Razak membuat penegasan bahawa "tidak semua yang baik untuk Melayu itu baik untuk negara, dan tidak semua yang baik untuk negara itu baik untuk Melayu".

Dalam memahami pengertian yang cuba dibawakan oleh Tun Razak tersebut ke dalam situasi politik negara hari ini, KPPM senada dengan Awang Selamat. Orang Melayu perlu dirundingi secara tersurat dan tersirat dalam apa-apa penentuan dasar dan hala tuju yang ingin dibawakan oleh kepimpinan baru UMNO.

Sudah pastilah kenyataan Awang Selamat itu perlu difahami sebagai tidak bertentangan dengan semangat perubahan semasa yang ingin dibawakan oleh saf kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperti mana Awang Selamat yang berhujah mengenai berkurangnya sokongan bukan Melayu pada pilihan raya kecil, rekod penyelidikan KPPM juga menunjukkan hal yang sama. Keadaan ini bukan dicirikan oleh perkauman tetapi disebabkan manfaat ekonomi.

Untuk menjelaskan keadaan ini, eloklah sekiranya diberikan contoh peranan UMNO dan Pas di negeri Kelantan berbanding peranan parti-parti bukan Melayu sama ada dalam pakatan pembangkang mahu pun BN dalam tata permainan politik semasa.

Di Kelantan, ada pandangan mengatakan UMNO lebih selesa berada dalam keadaan tewas berbanding menang. Alasannya disebabkan "saluran ekonomi" kepada penggerak di peringkat bahagian dan cawangan akan lebih terfokus berbanding sekiranya UMNO menang di peringkat negeri.

Bagi Pas Kelantan pula, mereka tetap selesa dalam keadaan menang apabila bantuan dari kerajaan Pusat dalam bentuk kewangan tetap diteruskan dalam usaha memujuk rakyat negeri itu.

Itulah resipi kekalahan UMNO dan kemampuan Pas bertahan hampir 20 tahun di Kelantan. Jika dibandingkan, peranan berkenaan tiada bezanya dengan parti-parti dominasi Cina atau India pada masa ini.

Dalam apa pun keadaan, mereka mengandaikan mereka akan dilayan dengan istimewa oleh kerajaan BN atas dasar keperluan ekonomi mereka akan sentiasa dipenuhi. Siri pilihan raya kecil telah membuktikan fakta ini. Tanpa membezakan kedudukan parti bukan Melayu sama ada dalam pakatan pembangkang mahupun BN.

Pada pandangan KPPM, sudah sampai masanya UMNO memilih jalan tengah, iaitu kembali ke perjuangan asal.

Hentikan pujukan. Sesekali cuba kaedah 'tumbukan' pula. Atau tukar strategi, lebih pujukan kepada Melayu sebagai saraf tunjang dan sesekali beri 'tumbukan' kepada parti politik bukan Melayu. Lihat implikasinya dan bandingkan dengan keadaan UMNO semasa yang seolah-olah menghadapi dilema terlalu besar dalam menentukan arah tujunya.

Akhirnya elok sekali lagi direnung tulisan Awang Selamat, "UMNO perlu bijak menyulam peranannya sebagai pemimpin BN untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. Jasa UMNO terlalu besar kepada orang Melayu, begitu juga kepada kaum lain walaupun hakikat ini cuba dinafikan.

UMNOlah yang mempertahankan bukan Melayu sejak awal kemerdekaan daripada aliran politik ekstremisme. Ketika Pas menjauhi parti dan kaum bukan Melayu serta menganggap mereka kafir selama beberapa dekad lamanya, UMNO menghulur tangan permuafakatan. Menerusi dasar dan naungan UMNO, kaum minoriti bukan sahaja terjamin hak malah mampu menguasai ekonomi negara. Sesungguhnya UMNO tidak pernah mengkhianati bukan Melayu. Apa yang mula berlaku adalah sebaliknya. Jadi, jagalah hati Melayu terlebih dahulu."
UMAR ZAIN
AJK Kelab Penyelidikan Politik Malaysia

Setuju tubuh Puteri BN

KUALA LUMPUR 18 Mei – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini bersetuju untuk menubuhkan Puteri BN secara rasmi, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, dengan persetujuan itu, semua parti komponen telah diminta untuk mengambil tindakan susulan berhubung penubuhan sayap terbaru BN itu.

Mesyuarat itu juga, kata Perdana Menteri, bersetuju melantik Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Ketua Penyelaras BN.

Menurutnya, antara tugas utama Soi Lek dalam jawatan baru BN itu ialah memberi tumpuan khusus kepada negeri-negeri dikuasai oleh parti pembangkang.

“Mesyuarat juga bersetuju mewujudkan jawatan Ketua Penerangan di peringkat Dewan Tertinggi BN tetapi calonnya belum ditentukan lagi.

‘‘Calon Ketua Penerangan itu akan diputuskan pada mesyuarat akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebahagian besar ketua komponen BN.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung BN dan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari BN.

Mereka yang dilantik sebagai Pengerusi BN negeri selain beliau di Selangor ialah Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu (Perlis); Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Kedah); Datuk Mustapa Mohamed (Kelantan); Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu); Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (Pulau Pinang) dan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (Perak).

Lain-lain ialah Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang); Tan Sri Muhyiddin Yassin (Wilayah Persekutuan); Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan); Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (Melaka); Datuk Abdul Ghani Othman (Johor); Datuk Seri Musa Aman (Sabah) dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud (Sarawak).

‘‘Apa yang kita putuskan hari ini hanya melibatkan kepimpinan BN peringkat negeri dan untuk peringkat bahagian, ia akan dibuat dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Tumpu pada pengundi muda

KUALA LUMPUR 18 Mei - UMNO Wilayah Persekutuan akan memberi perhatian khusus kepada pengundi muda dalam usaha untuk merampas semula kawasan Parlimen yang dimenangi pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, menurut perangkaan, kira-kira empat juta pengundi muda akan menyertai pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, trend semasa pula menunjukkan golongan itu lebih cenderung kepada parti pembangkang.

"Ahli-ahli UMNO perlu merapatkan barisan dan berhenti merajuk selepas selesai pemilihan Mac lalu untuk mendekati golongan muda ini yang menjadi penentu kerajaan masa depan.

"UMNO perlu mengubah cara mendekati rakyat terutama golongan muda dengan mendampingi mereka secara lebih rapat untuk menyelami masalah mereka dan tanpa banyak protokol," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan UMNO 2009 Bahagian Batu yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani di sini, semalam.

Beliau turut menyerahkan borang keahlian UMNO kepada ketua-ketua UMNO cawangan Bahagian Batu dalam menyokong kempen penambahan ahli parti itu di Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Raja Nong Chik berkata, beliau yakin semua itu boleh dicapai jika ahli UMNO di semua peringkat melupakan segala masalah yang ada dan bekerja keras demi meraih semula sokongan rakyat.

Beliau berkata, ahli UMNO perlu sedar suasana politik semasa memerlukan mereka bersatu dan berjuang mengatasi pelbagai emosi negatif yang wujud.

Mengenai masalah setinggan di Wilayah Persekutuan, beliau berkata, misi untuk mencapai setinggan sifar di bandar raya Kuala Lumpur sukar dicapai jika mereka mengenakan pelbagai syarat.

Antara syarat yang sukar dipenuhi kerajaan ialah pemberian tanah dan pelbagai bentuk pampasan lain yang diingini sebelum mereka bersetuju untuk berpindah ke pangsapuri yang disediakan.

Pemimpin mesti dekati rakyat

NIBONG TEBAL 18 Mei - Proses transformasi yang berlaku dalam UMNO perlu diterjemahkan oleh pemimpin di peringkat cawangan dengan bergiat lebih aktif sebagai barisan paling hadapan untuk meraih semula kepercayaan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebagai pemimpin paling dekat dengan akar umbi, pemimpin UMNO cawangan perlu turun padang memberi penjelasan mengenai sebarang isu atau kekeliruan yang ditimbulkan pembangkang.

Katanya, perubahan dalam parti tidak akan mendatangkan manfaat jika ia tidak diterjemahkan secara menyeluruh oleh pemimpin di semua peringkat.

''UMNO di peringkat cawangan perlu bergerak sebagai satu entiti yang betul-betul berfungsi untuk mendekati rakyat dan memberi penjelasan kepada mereka tentang apa juga isu supaya mereka faham.

''Dalam hal ini, aktiviti-aktiviti masyarakat perlu diperbanyakkan supaya rakyat merasa kehadiran kita dan peka terhadap masalah yang mereka hadapi tanpa mengira siapa mereka," katanya.

Zainal Abidin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata demikian pada majlis perasmian serentak persidangan UMNO cawangan-cawangan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Mahmud Zakaria.

Sempena majlis itu, Zainal Abidin turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 140 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) bagi kawasan DUN Sungai Acheh.

Di samping itu beliau berkesempatan menyempurnakan majlis tepung tawar van baru UMNO Bahagian Nibong Tebal.

Zainal Abidin berkata, jentera penerangan di peringkat cawangan perlu memainkan peranan bagi memastikan kekeliruan yang timbul dalam masyarakat dapat diperbetulkan.

Selain itu katanya, pemimpin UMNO di peringkat cawangan perlu bersikap adil dalam segala pendekatan atau pelaksanaan program agar mereka tidak dilihat sebagai pemimpin yang berat sebelah.

''Jangan kita utamakan keluarga kita sahaja sebaliknya beri perhatian secara adil kepada masyarakat setempat. Jangan biarkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti," katanya.

Beliau menambah, usaha berterusan juga perlu dilakukan untuk menambah lagi ahli di peringkat akar umbi dengan memberi keutamaan kepada golongan muda.

Sekretariat BN Pemuda dibentuk

KUALA LUMPUR 18 Mei - Sekretariat Pemuda Barisan Nasional (BN) akan ditubuhkan untuk bertindak sebagai penyelaras kepada semua aktiviti badan itu.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, penubuhan sekretariat itu dipersetujui badan pemuda itu pada mesyuarat khasnya di sini malam ini.

Sekretariat itu wujud tanpa diletakkan di bawah mana-mana parti komponen BN.

“Kita akan memberi kakitangan yang cukup untuk memastikan sekretariat ini dapat memberi penyelarasan kepada setiap komponen Pemuda BN,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Pada mesyuarat itu, Khairy turut mengumumkan pelantikan Datuk Razali Ibrahim sebagai Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Datuk Muzabil Abdul Rahman sebagai Setiausaha dan Bendahari Pemuda BN.

Khairy turut mengumumkan pewujudan Jawatankuasa Strategik Pemuda BN diketuai oleh Neil Foo dari Pemuda MCA.

RM100,000 naik taraf kemudahan pembelajaran di SK Kerukan

KUALA PENYU – Kerajaan bersetuju memperuntukkan seba nyak RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerukan di sini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk membaiki pu sat sumber sekolah, membeli per alatan mengajar dan membina pentas terbuka di sekolah berkenaan.

‘‘Bantuan yang disalurkan mene rusi peruntukan khusus ini diharap akan memberi keselesaan kepada se mua pelajar sekali gus mampu me ningkatkan mutu pembelajaran di sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata demikian ketika merasmikan Seminar Permuafakatan Ibu bapa 2009 anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Se latan (YSZPS) di SK Kerukan di sini kelmarin.

Turut hadir Guru Besar SK Ke rukan, Abdul Rahman Nudin; Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Ismail dan Pegawai Operasi YSZPS Kuala Penyu, Ganilin Hasim.

Beliau berkata, kemudahan seperti pusat sumber amat penting untuk me lahirkan pelajar yang bermaklumat dan peka kepada perkembangan semasa.

Katanya, kegagalan pelajar untuk menguasai ilmu dan maklumat terkini akan menyebabkan mereka ketingga lan berbanding rakan-rakan lain.

Sementara itu, Zulkhairi berkata, semangat permuafakatan dalam sek tor pendidikan amat penting dalam melahirkan modal insan yang mam pu bersaing di dalam negara dan di pentas global.

“Selain itu juga, amalan permua fakatan antara komuniti setempat de ngan pihak berwajib amat penting dalam melahirkan generasi masya rakat minda kelas pertama di negeri ini,” katanya.

Pesta Rumbia perlu tonjolkan pelbagai produk tempatan

BEAUFORT 6 Mei - Pesta Rumbia yang diadakan setiap tahun di daerah ini harus menonjolkan lebih banyak produk tempatan dan tidak hanya terhad kepada produk berasaskan rumbia sahaja.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin berkata, transformasi berkenaan penting bagi memastikan pesta itu dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat di daerah ini.

"Perayaan pesta Rumbia yang sejak sekian lama dianjurkan di daerah ini bukan sebagai pesta semata-mata, tetapi dalam jangka panjang, ia perlu memberikan manfaat terhadap kesan pembangunan serta peningkatan sumber ekonomi rakyat.

"Kepelbagaian daerah ini dalam industri pelancongan turut dapat dilihat dengan pelbagai produk berasaskan rumbia yang sudah dikenali ramai, namun pada masa yang sama, produk lain perlu ditonjolkan sebagai produk baru yang membantu menjadi daya tarikan baru" katanya yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Pelaksana Perayaan Pesta Rumbia ke-20 di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmond Teo.

Menurut Lajim, transformasi perlu dilakukan bagi menjadikan pesta Rumbia platform memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan yang merangkumi budaya, makanan dan kraftangan masyarakat tempatan.

Dalam pada itu, beliau juga berharap masyarakat di daerah ini mengambil peluang menjadikan perayaan Pesta Rumbia sebagai medan menonjolkan produk pelancongan tempatan.

"Apabila kita dapat memperagakan sesuatu yang menarik, unik dan berkualiti sebagai produk beridentitikan kehidupan masyarakat kawasan ini, sudah tentu ia akan menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk melawat ke sini" katanya.

Sementara itu, katanya lagi, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur di daerah ini seperti kemudahan jalan raya bagi membantu melonjakkan pelancongan daerah.

KDM DIMINTA BERKERJASAMA REALISASI 1 MALAYSIA



BEAUFORT : Setiausaha bahagian UMNO Beaufort,Tuan Haji Jusih Haji Sarin meminta agar semua Ketua Daerah Mengundi (KDM) Parlimen Beaufort agar dapat berkerjasama dalam melaksana agenda parti.

Katanya, melalui kerjasama yang kukuh dan kuat, para ahli disemua peringkat akan dapat merealisasikan Konsep ”Satu Malaysia,Rakyat di dahulukan pencapaian di utamakan” seperti yang telah di perkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia.

”selain itu juga, KDM juga perlu ’turun padang’ bagi memastikan cawangan – cawangan yang di wakili dapat membantu memperkuatkan agenda parti.

Jusih berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama Ketua – Ketua Daerah Mengundi bagi kawasan Parlimen Beaufort di Bilik Mesyuarat UMNO Bahagian Beaufort baru – baru ini.

”KDM juga perlu memastikan agar perpaduan dan integrasi di peringkat ahli dan cawangan dapat diperkukuhkan dengan baik,” kata jusih

Menurutnya lagi,setiap ahli – ahli umno perlu di beri perhatian dalam mengenal dasar parti dan polisi kerajaan dengan melaksana aktiviti yang bersesuaian dengan parti dan kebaikan rakyat.

Pada majlis itu,Jusih turut menyampaikan watikah perlantikan KDM bagi kawasan Parlimen Beaufort.

Hadir sama pada majlis itu,Setiausaha Kerja UMNO,Ali Mahmod Zamzam.



UMNO perlu lakukan reformasi dan perubahan gaya kepimpinan







KUALA PENYU : Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) perlu melakukan reformasi dan perubahan gaya kepimpinan serta perkhidmatan agar dapat terus diterima rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia,Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, tanpa ada reformasi dan perubahan, UMNO akan kurang mendapat perhatian daripada orang melayu dan bukan melayu.

“Perjuangan kita dalam parti UMNO merupakan satu wadah bagi memartabatkan kedaulatan bangsa melayu dan rakyat di Negara kita.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan (Berkelompok) Tahunan Cawangan-cawangan UMNO DUN Kuala Penyu di Dewan Dato shah Bandar making di sini baru – baru ini.

“Saya menyeru kepada seluruh ahli umno agar mengelakkan daripada berpecah belah,berebut jawatan sesama sendiri kerana semua ini boleh melemahkan umno sendiri,” kata lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia.

Lajim berkata,ahli umno juga perlu memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus kukuh dan kuat sepanjang masa terutama apabila menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Tambahnya lagi,para pemimpin dan ketua – ketua cawangan perlu “Turun Padang” bagi melihat sendiri keperluan ahli –ahli di semua peringkat akar umbi.

“selain itu juga,ahli diperingkat cawangan juga perlu di ambil perhatian agar mereka dapat mengetahui dasar perjuangan parti yang kini telah mencapai usia 63tahun,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu,Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Beaufort,OKK Hj Awang Anak Mohd Yusof,Timbalan Ketua Bahagian UMNO Beaufort,Isnin Aliasneh, Naib Ketua Bahagian,Datuk Kimjus Duim, Ketua Pemuda Beaufort,Ishak Ibrahim dan Ketua Puteri UMNO Beaufort,Saridah Datuk Seri Panglima Mohd Dun. Oleh: ERDIE AB WAHID